Mujur mendiang suami tinggal ‘bekal’ untuk anak-anak
BANDARAYA MELAKA 12 Oktober – “Saya akan gunakan wang Faedah Pencen Penakat yang diterima untuk menampung keperluan persekolahan anak-anak,” kata Chu Siew Lian, 51, balu kepada mendiang Lai Chew Meng, 53, meninggal dunia akibat serangan jantung 10 September lalu.
Siew Lian berkata, tiga daripada lima anaknya masih bersekolah termasuk seorang yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.
Namun sumbangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerusi wang Faedah Pencen Penakat berjumlah RM1,917.50 setiap bulan selepas ini amat melegakan Siew Lian.
“Saya turut menerima bantuan ‘one-off’ berjumlah RM2,000 bagi Faedah Pengurusan Mayat mendiang suami yang sebelum ini bekerja di sebuah syarikat swasta. Semua yang berlaku adalah luar jangkaan kita, saya hanya seorang suri rumah, bila suami sudah tiada kami sekeluarga hilang tempat bergantung.
“Saya belajar sesuatu dan akan mencarum untuk diri sendiri selepas ini agar anak-anak mendapat manfaatnya,” katanya ketika ditemui pada Program Perkeso Mendekati Media di sebuah hotel, di sini, baru-baru ini.
Sementara itu seorang lagi penerima faedah hasil mencarum bersama Perkeso Nuraishah Ramli, 31, berkata, meskipun bapanya Ramli Abu Bakar, 58, pergi meninggalkan mereka, namun bayaran Faedah Orang Tanggungan berjumlah RM827 setiap bulan pastinya akan meringankan beban ibunya.
Nuraishah yang hadir ke majlis itu mewakili ibunya berkata, mereka turut menerima bayaran Faedah Pengurusan Jenazah secara one-off berjumlah RM2,000.
“Arwah bapa saya yang bertugas sebagai imam di Masjid Paya Lebar, Masjid Tanah, meninggal dunia selepas terbabit kemalangan pada 30 Julai lalu. Mengikut kebiasaan arwah yang menunggang motosikal akan pulang untuk makan malam selepas selesai solat Maghrib.
“Namun pada hari berkenaan arwah tidak pulang, pada jam 9 malam kami menerima panggilan memaklumkan arwah terbabit kemalangan di Jalan Paya Lebar dan meninggal dunia keesokan harinya akibat kecederaan di kepala serta dada,” katanya.
Sumbangan berkenaan disampaikan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem sambil disaksikan Pengarah Perkeso Negeri Melaka Abd Razak Omar.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.