Ini Warisan Kita platform terbaik kekal khazanah dan budaya Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

SUNGAI UDANG 11 Oktober – Program ‘Ini Warisan Kita’ yang diperkenalkan untuk memulihara khazanah dan budaya di Melaka akan dirangka sepanjang tahun membabitkan pelbagai suntikan aktiviti bermanfaat kepada rakyat.

Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) negeri, Intan Suhana Yusuff berkata, Ini Warisan Kita yang diperbaharui dan diletakkan di bawah Kembara Perpaduan adalah sebuah program di bawah Kementerian Perpaduan Negara bagi memperkenalkan lagi kebudayaan khususnya kaum-kaum minoriti di negara ini agar ia sentiasa dipelihara.

Justeru katanya, menerusi program itu, pelbagai aktiviti berkaitan khazanah dan kebudayaan dirangka di Melaka sepanjang tahun membabitkan penganjuran pertandingan, antaranya pantun, pidato dan koir.

“Seperti baru-baru ini, pelbagai program kebudayaan memperkenalkan budaya kaum Protugis, Cheti dan Baba dan Nyonya telah dianjurkan untuk memperkenalkan masyarakat bahawa kaum yang turut membawa imej Melaka ini mempunyai budaya dan keunikan tersendiri.

“Pelbagai program juga telah dirangka disepanjang tahun ini seperti pantun, koir, debat perpaduan, Kem Anak Malaysia yang membabitkan penyertaan tiga negeri di Malaysia dan sebagainya diletakkan di bawah Program Ini Warisan Kita.

“Malah, menerusi program ini JPNIN Melaka juga telah melantik Duta Perpaduan di negeri ini sebagai suri teladan kepada rakyat untuk mengekalkan kebudayaan yang ada sekali gus menyebar mesej perpaduan dalam kalangan kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Kembara Perpaduan Pantun Perpaduan Peringkat Negeri Melaka 2023 dirasmikan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem di Sekolah Menengah Sains Alor Gajah,  pada Selasa.

Terdahulu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang telah memperkenalkan program Ini Warisan Kita menerusi khazanah warisan negara dengan tema Melestarikan Perpaduan.

Program yang merupakan antara ‘flagship’ utama kementerian itu bertepatan dengan hasrat kerajaan dalam membangun Malaysia Madani sekali gus mampu menerapkan elemen hormat menghormati serta menjadikan warisan sebagai salah platform pengukuhan perpaduan dalam kalangan rakyat negara ini.

Kementerian itu turut menawarkan insentif berbentuk geran sehingga RM50,000 tertakluk kepada terma dan syarat yang telah ditetapkan untuk menggalakkan penglibatan lebih banyak pihak khususnya badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan berdaftar menyertai Ini Warisan Kita.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

958
Kongsi :
Previous post Graduan TVET mencorak masa hadapan negara
Next post 165 pelajar KYS kuasai kursus asas selam skuba
Ubah saiz-+=