Prestasi sektor perlombongan dijangka pulih
KUALA LUMPUR 6 Nov. – Prestasi sektor perlombongan dijangka pulih sebanyak 4.1 peratus pada 2021, disokong oleh pemulihan dalam permintaan global bagi minyak mentah, kondensat serta gas asli cecair (LNG).
Kementerian Kewangan (MoF) berkata keadaan ini adalah seiring dengan harga minyak mentah Brent yang diunjurkan meningkat secara purata kepada US$42 setong menjelang 2021 dan kembali pulih ke paras sebelum pandemik dalam jangka sederhana.
“Bagaimanapun, sektor perlombongan telah mencatatkan penguncupan dua digit sebanyak 11 peratus pada separuh pertama 2020 akibat daripada kemerosotan permintaan global berikutan penutupan perniagaan serta pengurangan aktiviti perjalanan dan pengangkutan,” katanya dalam Tinjauan Ekonomi 2021.
Prestasi sektor ini diburukkan lagi dengan penutupan sementara beberapa fasiliti minyak dan gas bagi tujuan penyelenggaraan.
“Keadaan itu telah menyebabkan penurunan permintaan yang mengakibatkan fasiliti penyimpanan tidak dapat menampung lebihan minyak mentah dengan harga minyak mentah Brent mencatat harga terendah iaitu US$17.32 setong pada 21 April 2020 sebelum kembali stabil pada sekitar US$40 setong,” katanya.
Selain itu, sektor perlombongan dijangka terus menyusut pada separuh kedua 2020 disebabkan oleh kerja-kerja penyelenggaraan yang sedang dilaksanakan dan prospek pertumbuhan yang lemah berikutan ketidaktentuan ekonomi termasuk geopolitik dan ketegangan perdagangan.
Oleh itu, sektor perlombongan dijangka menguncup sebanyak 7.8 peratus pada 2020.
— BERNAMA