Himpun 1,000 pelajar sekolah, suntik kesedaran keselamatan jalan raya

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

AYER LIMAU 9 Oktober – Hari Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Peringkat Daerah Alor Gajah bakal menghimpunkan kira-kira 1,000 pelajar sekolah dalam daerah itu dalam menyuntik kesedaran berkaitan keselamatan jalan raya.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, program itu akan diadakan pada 4 November depan, bertempat di Dewan Tan Sri Abu Seman, Paya Rumput, Masjid Tanah.

Katanya, pelbagai program akan diadakan sepanjang majlis itu antaranya taklimat keselamatan, pertandingan dan pameran daripada pelbagai agensi penguatkuasaan terlibat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau berkata, program itu kembali diadakan selepas hampir enam tahun bertujuan memastikan keselamatan pengguna jalan raya khususnya pelajar sekolah yang membawa kenderaan sendiri.

“Program ini memfokuskan kepada pelajar sekolah berikutan kita mendapati kemalangan yang melibatkan golongan ini semakin membimbangkan terutamanya pelajar-pelajar di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau.

“Selain pelajar, masyarakat terutama golongan ibu bapa perlu menyertai program yang dianjurkan ini untuk memastikan keselamatan anak-anak ke sekolah dapat dipertingkatkan dan membantu menurunkan kadar kemalangan jalan raya di negeri ini.

“Masyarakat perlu ambil kesempatan melihat apa yang akan disampaikan oleh agensi terlibat kerana selain polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Bomba dan beberapa agensi lain akan bersama masyarakat di sepanjang program berkenaan bagi menyampaikan mesej berkaitan keselamatan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Hameed berkata selain seminar keselamatan pelbagai pertandingan turut diadakan seperti MKJR Treasure Hunt membabitkan penyertaan pelajar sekolah; semakan lesen memandu; pembaharuan lesen memandu serta pelbagai lagi.

“Malah, kita juga akan menjalankan pemeriksaan kenderaan (inspection) untuk memeriksa mana-mana kenderaan lama yang telah tamat tempoh cukai jalan, perlesenan dan sebagainya.

“Selain itu, antara program lain adalah Shell Game Road Safety, Explorace (Road Safety), Pertandingan Mewarna Road Safety (kanak-kanak), Pameran Kerjaya (PDRM,JPJ,Bomba), Pameran Kesedaran Kempen Keselamatan Jalan Raya (PDRM dan Bomba), Penyerahan Penerima MyLesen (Lesen Percuma oleh Kerajaan dan Kaunter Semak Saman JPJ serta PDRM.

“Kita mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk memeriahkan sambutan ini bagi bersama-sama menyuntik kesedaran dalam memastikan keselamatan anak-anak dan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

897
Kongsi :
Previous post 7,793 premis biak Aedes dikompaun
Next post Jerebu: Lapan kawasan catat IPU tidak sihat, Cheras tertinggi
Ubah saiz-+=