Sorting by

×

Kadar pengangguran menurun 3.5 peratus

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

GADEK 7 Oktober – Kadar pengangguran negara berkurangan kepada 3.5 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding 3.6 peratus suku keempat tahun lalu.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, penurunan itu satu perkembangan yang baik dan kementeriannya bersama agensi di bawahnya akan terus melaksanakan pelbagai program untuk mengurangkan kadar itu.

Katanya, kadar pengangguran di Melaka juga menurun dan agak rendah berbanding peratusan di peringkat nasional iaitu berkurangan kepada 2.6 peratus pada suku ketiga tahun lalu berbanding 3.0 peratus bagi tempoh sama pada tahun 2021.

“Merujuk kepada data daripada portal MyFutureJobs, seramai 455, 350 individu yang mencari kerja di seluruh negara telah berjaya ditempatkan dalam pelbagai sektor pekerjaan dari 2022 hingga September 2023.

“Daripada jumlah tersebut, 12, 331 adalah pencari kerja di Melaka dan ini adalah petunjuk yang baik kerana lebih ramai orang mula bekerja sekali gus mengurangkan kadar pengangguran.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Jelajah Madani Bersama Menteri Sumber Manusia di Negeri Melaka di sini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Antarabangsa, Datuk Amran Ahmad; Pegawai Khas Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Asyraf Mukhlis Minghat.

Terdahulu, Sivakumar turut menyampaikan faedah Perkeso selain sijil pendaftaran di bawah Skim Pekerjaan Sendiri Perkeso kepada penerima.

Turut disampaikan sijil kepada peserta latihan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) dan sumbangan tanggungjawab sosial korporat HRD Corp.

Beliau berkata, bagi memastikan kadar pengangguran itu terus berkurangan, pelbagai usaha dijalankan Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk memastikan anak-anak muda atau belia dapat mendapat pekerjaan bersesuaian.

“Selain itu, melalui agensi lain di bawah KSM juga menjalankan pelbagai usaha supaya golongan itu mempunyai latihan dan kemahiran secukupnya supaya mereka ini apabila memasuki alam pekerjaan nanti boleh mendapat upah dan gaji setimpal.

“Kita juga melihat perkembangan di seluruh dunia, perubahan yang boleh dikenal pasti termasuk potensi peluang pekerjaan pada masa hadapan yang mendapat permintaan tinggi, contohnya bidang sekuriti siber (cybersecurity) atau pekerjaan berkaitan digital,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

935
Kongsi :
Previous post MATTA Melaka sasar jual 20,000 pakej pelancongan bernilai RM15 juta
Next post Musang King segar bakal dieksport ke China
Ubah saiz-+=