Sorting by

×

Melaka tawar pakej pelancongan mampu milik

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

BANDA HILIR 7 Oktober – Kerajaan Melaka memberi jaminan setiap pakej pelancongan yang ditawarkan adalah mampu milik dan mesra pelancong bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, pakej pelancongan dengan harga berpatutan ditawarkan selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri menyasarkan kehadiran 18 juta pelancong pada tahun hadapan.

Jelas beliau, pakej-pakej pelancongan yang ditawarkan begitu berbaloi berbanding harga asal dengan tawaran potongan 20 hingga 30 peratus sempena TMM2024.

“Kita akan memberi pakej-pakej yang istimewa. Kalau ada mengatakan kenaikan harga dan sebagainya, itu tak betul. Malah, Kerajaan Negeri melalui MATTA Fair menawarkan diskaun sehingga 20 hingga 30 peratus.

“Jika ada yang menyatakan kenaikan harga ini tak betul. Kerana dalam pakej pelancongan ini kita bagi diskaun lagi dengan pakej yang istimewa buat pelancong.

“Kita memberi jaminan pelancongan di Melaka adalah mampu milik dan menjadi sebuah negeri pilihan pelancong untuk datang bercuti di negeri ini, jadi janganlah lepaskan peluang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian Matta Fair Melaka 2023 di Dataran Pahlawan Melaka Megamall, semalam.

Hadir sama, Timbalan Presiden Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Malaysia, Sheikh Awadh Sheikh Abdullah; Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Domestik Dan Acara Tourism Malaysia, Jeffri Munir; Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Negeri Melaka, Jay Yeow Chin Chai dan Pengerusi MATTA Melaka Chapter, Goh Hock Gin.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata selain mempromosikan destinasi pelancongan menarik, Kerajaan Negeri turut memulakan langkah mempromosikan Taman Laut Melaka sebagai produk baharu pelancongan di negeri ini.

Beliau berkata, langkah itu diambil setelah kawasan tersebut mula diwartakan sebagai lokasi pelancongan dan kebenaran juga telah diperoleh dari pelbagai agensi persekutuan.

“Kawasan Taman Laut ini baru sahaja diwartakan dan kebenaran yang diperoleh daripada pihak persekutuan dan peringkat negeri membolehkan kita kini mempromosikan lokasi tersebut.

“Jadi ini membuka peluang pelancong yang sebelum ini tidak tahu mengenai khazanah laut negeri ini, menikmati dan menghargainya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1528
Kongsi :
Previous post Mahu bina rumah atas tanah sendiri, tapi bimbang salah pilih kontraktor?
Next post Projek pembangunan Air Panas Gadek dijangka siap November
Ubah saiz-+=