Sorting by

×

Promosi TMM2024 diperhebat di seluruh negara

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

BANDA HILIR 6 Oktober – Misi mempromosikan sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) akan terus diperhebatkan ke seluruh negara bagi memastikan hasrat mencapai kemasukan 18 juta pelancong mampu dicapai, tahun hadapan.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, berbaki tiga bulan lagi sebelum menjelang TMM2024, Kerajaan Negeri akan melipat gandakan usaha mempromosi sambutan itu ke setiap negeri di seluruh negara bermula bulan depan.

Beliau berkata, pelbagai pendekatan akan diambil dalam siri jelajah mempromosikan TMM2024 termasuk menganjurkan konvoi bermotor bagi memastikan mesej sambutan tersebut mampu menarik pelancong ke Melaka.

“Kita akan menumpukan promosi ini ke seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak untuk melaksanakan promosi terakhir kita sebelum menjelang 2024.

“Malah selain mempromosi seluruh negara kita bakal anjurkan pelbagai lagi program menarik untuk mempromosikan TMM2024 seperti penganjuran Festival Belon Udara Panas sebelum ketibaan 2024.

“Kita akan terus bergerak mempromosikan TMM2024 dalam tempoh berbaki beberapa bulan lagi bermula November depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Matta Fair Melaka 2023 di Dataran Pahlawan Megamall, di sini, hari ini.

photo1696587574
ABDUL Razak ketika berucap pada Majlis Perasmian MATTA Fair Melaka 2023. Foto: MR. AZLI

Hadir sama, Timbalan Presiden Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Malaysia, Sheikh Awadh Sheikh Abdullah; Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Domestik Dan Acara Tourism Malaysia, Jeffri Munir; Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Negeri Melaka, Jay Yeow Chin Chai dan Pengerusi MATTA Melaka Chapter, Goh Hock Gin.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata, selain kaedah konvoi bermotor bagi mempromosikan TMM2024, Kerajaan Negeri menerusi Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) turut akan menggerakkan trak TIC Mobile (Tourism Information Centre) bagi memudahkan orang ramai mengenali pelbagai pakej promosi ditawarkan di Melaka sepanjang tahun hadapan.

“Kaedah inilah yang akan kita gunakan dan seperti sebelum ini TIC Mobile ditempatkan di kawasan Pusat Membeli Belah.

“Jadi dalam misi ini nanti kita turut akan menggerakkan kenderaan ini bagi bersama-sama mempromosikan TMM2024 pada tahun hadapan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1233
Kongsi :
Previous post Gilap bakat si cilik
Next post Mahu bina rumah atas tanah sendiri, tapi bimbang salah pilih kontraktor?
Ubah saiz-+=