188, 102 suri rumah mencarum SKSSR PERKESO – Mustapha
KUALA LUMPUR, 3 Okt – Sebanyak 188,102 suri rumah di seluruh negara mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) setakat 24 Sept lepas.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Mustapha Sakmud berkata sejak SKSSR dilaksanakan pada Dis 2022, sebanyak 476 kes diproses PERKESO melibatkan bencana domestik, keilatan, dan kematian suri rumah dengan jumlah bayaran faedah RM621,953.
“Angka ini menepis pandangan bahawa pekerjaan sebagai suri rumah ini tidak memerlukan perlindungan.
“Jika dilihat daripada jumlah tersebut, secara puratanya sebanyak 47.6 kes diproses setiap bulan atau sekurang-kurangnya satu kes setiap hari,” katanya ketika berucap pada Karnival Aspirasi MADANI dan Kempen Ayuh Daftar Suri@PERKESO di Kompleks Sukan Bandar Tun Razak di sini hari ini.
Justeru, beliau menyeru suri rumah untuk mencarum SKSSR demi keselamatan dan kesejahteraan diri, khususnya apabila bayaran bagi caruman itu hanya RM120 setahun bagi mendapatkan perlindungan sewajarnya.
Menurutnya daripada jumlah 188,102 itu, sebanyak 3,220 suri rumah merupakan pencarum dari Kuala Lumpur.
Dalam perkembangan lain, Mustapha memaklumkan hasil Dasar Pasaran Buruh Aktif (ALMP) yang dirintis oleh PERKESO merekodkan 448,311 pencari kerja berjaya memperoleh pekerjaan bagi tempoh Jan 2022 hingga 31 Ogos lepas.
Mengenai Karnival Aspirasi MADANI, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata program itu menghimpunkan kira-kira 20 majikan dan menyediakan lebih 3,000 peluang pekerjaan merentasi pelbagai sektor dan bidang.
“Saya ingin mengambil peluang ini untuk menggalakkan majikan supaya menyokong Kementerian Sumber Manusia dalam ‘Kempen Ambil Pekerja Lokal’. Kempen bermula sejak 4 Jun lepas memberi peluang kepada pekerja tempatan untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik dan stabil.
“Semoga karnival ini dapat membantu semua mendapatkan pekerjaan selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan kadar pengangguran dan menyokong kestabilan sosioekonomi negara,” katanya.
Karnival yang dirasmikan oleh Dr Wan Azizah itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Aiman Athirah Sabu, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.