Tuntut pemaju sediakan pampasan
TANJUNG BIDARA 6 Nov. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara Datuk Md Rawi Mahmud meminta pemaju perumahan berhampiran Taman Bidara Jaya, di sini
menyediakan pampasan kepada sembilan pemilik rumah yang dilanda banjir lumpur awal pagi tadi.
Beliau berkata, ia penting bagi membolehkan pemilik terbabit menjalankan kerja pembaikan peralatan elektrik atau mendapatkan alat yang baharu selepas rosak akibat banjir lumpur.
“Pemaju juga harus membersihkan kesan runtuhan tembok batu yang pecah akibat hujan lebat awal pagi tadi, selain harus membina tembok konkrit yang lebih kukuh dan meyakinkan,” katanya di sini hari ini.
Dalam kejadian jam 5.45 pagi tadi, sembilan rumah teres setingkat dilanda banjir lumpur selepas tembok yang dibina pemaju perumahan di bahagian belakang rumah mereka runtuh akibat hujan lebat.
Mereka mendakwa, terdengar dentuman kuat apabila tembok setinggi kira-kira 1.5 meter itu runtuh sebelum kediaman mereka dilanda banjir lumpur.
Seorang daripada mereka turut mengalami kerugian apabila van yang digunakan untuk berniaga pakaian, rosak teruk akibat ditimpa runtuhan tembok batu.
Pengerusi persatuan penduduk taman itu, Sukri Abadi Yusof, 50, berkata pemaju berkenaan membina kira-kira 50 unit rumah di kawasan berhampiran kediaman penduduk sejak setahun lalu.
“Sebelum ini sudah beberapa kali air dari kawasan pembinaan melimpah ke bahagian belakang rumah penduduk tetapi tidak pernah melimpah masuk ke dalam rumah dan pagi ini bukan setakat air yang melimpah, lumpur juga masuk ke dalam rumah,” katanya.
Sehubungan itu beliau meminta pemaju berbincang dengan penduduk bagi menentukan kadar pampasan yang harus disediakan untuk mangsa.
Selain itu, penduduk menuntut pemaju membina tembok konkrit yang lebih kukuh bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Tinjauan di lokasi kejadian mendapati kontraktor sudah memulakan kerja membersihkan kesan runtuhan tetapi tidak membabitkan penggunaan jentera.
Beberapa pekerja kontrak sudah mula mencuba membina struktur sementara bagi menahan air daripada terus melimpah ke kediaman penduduk.
Hujan yang mulai reda pada jam 9 pagi memberi kelegaan kepada semua pihak, terutama sembilan pemilik rumah yang terpaksa bersusah payah membersihkan kediaman masing-masing.