Sorting by

×

23 PATI ditahan di Melaka Sentral

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 2 Oktober – Tindakan 23 pendatang tanpa izin (PATI) yang tinggal di negeri ini tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah membawa padah selepas dicekup pihak berkuasa, semalam.

Kesemua mereka ditahan dalam operasi Ops Bersepadu yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Melaka bersama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sekitar Terminal Bas Melaka Sentral.

Pengarah Imigresen Negeri Melaka Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, dalam operasi lebih dua jam bermula jam 2.30 petang itu seramai 199 warga asing diperiksa.

“Hasilnya 23 warga asing ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah ketika diminta penguatkuasa semasa pemeriksaan dijalankan.

“Mereka yang ditahan membabitkan 16 warga Myanmar dan tujuh warga Bangladesh, kesemua lelaki itu berusia 20 hingga 40 tahun.

“Kesemua PATI ini ditahan kerana melakukan kesalahan dibawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1963 dan Seksyen 15(4) akta sama,” katanya.

Menurutnya, dalam operasi itu pemeriksaan dilakukan secara menyeluruh di lot kedai dan kawasan sekitar Melaka Sentral bagi mengesan warga asing yang tinggal di negara ini terutamanya di negeri tanpa dokumen yang sah.

“Antara diperiksa adalah mereka yang bekerja di lot kedai, yang sedang membeli belah dan juga sedang bersiar-siar menghabiskan waktu hujung minggu di kawasan itu.

“Meskipun ada beberapa warga asing yang bertindak cuba melarikan diri daripada pemeriksaan namun tindakan mereka itu berjaya digagalkan oleh penguatkuasa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1451
Kongsi :
Previous post Melaka-Batam jalin kerjasama pelancongan
Next post Lelaki warga emas ditemukan maut dalam keadaan dijerut
Ubah saiz-+=