SPRM berazam kurangkan ketirisan, kembalikan aset dan dana negara – Azam Baki
PUTRAJAYA, 1 Oktober – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memfokus kepada usaha membantu meningkatkan semula ekonomi negara dengan mengurangkan ketirisan dan mengembalikan kekayaan negara, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki.
Beliau berkata sesuai dengan peredaran semasa, SPRM melaksanakan kaedah terkini dan profesional bukan sahaja bagi membanteras jenayah rasuah, malah untuk mengatasi ketirisan bagi mendapatkan kembali aset dan dana kerajaan.
Katanya SPRM telah membentuk satu kaedah penyiasatan kes berprofil tinggi melibatkan individu berjawatan atau berkedudukan tinggi dengan menggunakan kaedah Siasatan Berasaskan Risikan (IBI).
“Kaedah ini digunakan untuk kes dengan analisis mendalam yang dilakukan terhadap subjek-subjek sebelum siasatan menyeluruh dijalankan. Bermula dengan identifikasi pelaku-pelaku rasuah berprofil tinggi dan seterusnya pemulihan aset, sebelum aset dapat dikembalikan kepada kerajaan.
“Kaedah IBI ini dapat membongkarkan kesalahan rasuah besar,” katanya dalam wawancara khas sempena Ulang Tahun SPRM ke-56 di Ibu Pejabat SPRM di sini, baru-baru ini.
Katanya, SPRM juga menjalankan siasatan menerusi kaedah Model Pengurusan Penyiasatan Berpasukan (MTI) bagi memastikan kertas siasatan dapat dilengkapkan dengan cekap dan berkualiti.
Menurut beliau pendekatan tersebut dilaksanakan dengan mengambil kira kepentingan dan kesegeraan sesebuah kes terutamanya membabitkan kes-kes jenayah bersindiket.
“Apabila berlakunya rasuah dan salah guna kuasa, ia melibatkan ketirisan yang sangat besar. Hal ini tidak bermakna kes-kes (kecil) lain tidak diutamakan. Tetapi seperti yang saya katakan, menjadi tanggungjawab SPRM membantu negara menjana pendapatan bagi ‘merancakkan’ balik ekonomi,” katanya.
Pada masa sama, katanya siasatan, pertuduhan dan beberapa proses perundangan lain masih diteruskan seiring dengan usaha pemulangan (repartriasi) sumber dana awam seperti yang sedang giat dijalankan.
Azam berkata antara kejayaan dicapai menerusi pendekatan tersebut adalah pemulangan aset dan wang berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dalam pada itu, katanya terdapat segelintir masyarakat tidak memahami kelebihan pelaksanaan kaedah tersebut dan perlu diberi kesedaran berkenaan pendekatan baharu itu.
Azam berkata segelintir pihak tidak memahami kelebihan kaedah tersebut dan ini menuntut agar kesedaran berkenaan diberikan terhadap pendekatan baharu itu.
“Mereka beranggapan pertuduhan itu penting. Saya tidak menganggap ia (pertuduhan) tidak penting, tetapi kalau boleh jimatkan kos untuk perbicaraan tanpa ia berjalan begitu lama, itu juga lebih baik,” katanya menambah pendekatan tersebut juga diguna pakai di negara maju seperti di Amerika Syarikat (AS) yang menjadi rujukan SPRM.
Susulan itu, Azam berkata suruhanjaya itu sedang mengkaji pelaksanaan Perjanjian Pendakwaan Tertunda (DPA) dimana proses pertuduhan terhadap mana-mana pihak berkaitan akan ditangguhkan.
“Kita akan mencadangkan kepada kerajaan supaya undang-undang ini (DPA) diadakan di mana pertuduhan ditangguhkan dan satu penyelesaian akan diambil atau dicapai supaya negara mendapat pulangan yang lebih besar,” katanya.
Menyentuh mengenai pencapaian SPRM sepanjang tahun lepas, Azam berkata sebanyak 820 kertas siasatan berkaitan rasuah dan salah guna kuasa telah dibuka dengan 766 atau 93.41 peratus kes berjaya diselesaikan dalam tahun semasa.
“Sepanjang tempoh itu juga, seramai 909 individu telah ditahan termasuk 323 penjawat awam, selebihnya dari sektor swasta, politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), orang awam dan lain-lain,” katanya.
Bagi pelucuthakan dan pemulihan aset oleh SPRM, katanya jumlah keseluruhan adalah sebanyak RM149,695,341.49, manakala keseluruhan kompaun di bawah Seksyen 92(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 direkodkan pada tahun lepas adalah RM44,454,800.
“Penyumbang tertinggi nilai lucut hak adalah menerusi Ops 1MDB berjumlah RM64,386,825.68, hasil kerjasama strategik pasukan penjejakan aset 1MDB yang dianggotai SPRM serta agensi penguat kuasa lain bersama Jabatan Kehakiman (DOJ) AS dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI),” katanya.
Bagi tahun ini, dari Januari hingga Ogos, seramai 869 individu disyaki terbabit dengan kegiatan rasuah ditahan dengan 324 daripadanya adalah penjawat awam.
Selain itu, katanya 326 individu telah dituduh di mahkamah atas kesalahan memberi dan menerima rasuah, tuntutan palsu dan salah guna kuasa.
Azam berkata SPRM telah membuktikan kemampuan dan kebolehan mengendalikan kes berprofil tinggi dan kompleks yang diiktiraf bukan sahaja di negara ini malah di peringkat antarabangsa, daripada peringkat siasatan hingga pendakwaan.
Sempena ulang tahun SPRM ke-56, Azam berkata SPRM optimis mahu mencapai negara bebas rasuah bukan sahaja dari aspek penguatkuasaan atau operasi, malah menguatkan jentera pencegahan untuk menutup ruang dan peluang pelakuan rasuah sehingga ke akar umbi.
Beliau berkata antara aktviti dirancang sempena sambutan ulang tahun SPRM ke-56 termasuk Pertandingan Mereka Bentuk Setem dengan kerjasama Pos Malaysia Berhad dan Pertandingan Lagu Patriotik yang terbuka kepada pegawai serta kakitangan SPRM di seluruh negara.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.