Sorting by

×

MARDI keluarkan varieti MR323 dan MR326 tahun hadapan

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

MERLIMAU 28 September – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bakal isytiharkan benih padi untuk kawasan tadahan hujan, varieti MR323 dan MR326 tahun hadapan.

Pengarah Penyelidikan Padi dan Beras MARDI, Dr. Mohd Syaifudin Abdul Rahman berkata, berdasarkan kajian menjalankan varieti itu berjaya menghasilkan padi berkualiti tinggi.

Katanya, benih varieti tersebut sesuai ditanam di kawasan minimum air dan kawasan tadahan hujan.

“Kajian memakan masa enam ke tujuh tahun untuk keluarkan satu varieti benih padi dan kita ada buat varieti MR323 serta MR326 khusus untuk tanaman padi di kawasan kurang air.

“Penanaman varieti ini telah dijalankan di beberapa lokasi antaranya Sungai Derhaka, Terengganu dan Kedah.

“Varieti ini boleh hidup dan tumbuh dengan jayanya meskipun kawasan tanaman tersebut kurang air dan hasilnya sama dengan padi yang ditanam di tempat yang mempunyai saliran yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan ke Penuaian Padi Projek Penyelidikan Pakej Agronomi Varieti MR297 di kawasan tadahan hujan di Kampung Sempang, di sini, katanya.

Hadir sama, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh serta Pengarah MARDI negeri, Nik Adli Nik Muhammad.

“Sejak 1969 MARDI telah mengeluarkan 53 varieti benih padi. Menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), setiap tahun kita akan ada varieti baharu dan kajian akan bergantung kepada perubahan tertentu.

“Sebagai contoh, fokus kajian kepada benih padi jika berlaku perubahan cuaca di sesuatu kawasan dan kebiasaan kajian dilakukan untuk benih padi ditanam di jelapang kerana menjamin penghasilan yang lebih tinggi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1968
Kongsi :
Previous post Polis Melaka buka kertas siasatan isu sos cili peket
Next post Lambaian Masjid Putih
Ubah saiz-+=