Melaka bakal jadi pengeluar benih padi MR297
MERLIMAU 27 September – Melaka bakal menjadi pengeluar benih padi MR297 yang terkenal dengan ciri tahan lasak dan terbukti mampu mengeluarkan hasil lebih tinggi, sekali gus membantu menangani masalah kekurangan bekalan beras tempatan bagi tempoh jangka masa panjang.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata Kerajaan Negeri dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah melaksanakan ‘pilot project’ (projek perintis) penanaman padi menggunakan benih MR297 di Kampung Sempang, Merlimau.
Katanya, projek perintis itu membabitkan sawah berkeluasan 10 hektar dan akan diperluaskan ke kawasan lain jika jumlah tuaian menunjukkan hasil yang memberansangkan.
“Berdasarkan penyelidikan MARDI di Melaka, benih jenis ini mampu menghasilkan tuaian hingga dua kali ganda. Jika sebelum ini hanya mampu hasilkan lima tan, akan datang kita mungkin boleh dapat hingga lebih 10 tan beras.
“Benih jenis ini juga masih mampu bertahan jika berlaku masalah kekurangan air. Jadi kita boleh bekalkannya ke negeri lain yang mungkin turut berdepan masalah air,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan ke Penuaian Padi Projek Penyelidikan Pakej Agronomi Varieti MR297 di kawasan tadahan hujan di Kampung Sempang, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Penyelidikan Padi dan Beras MARDI, Dr. Mohd Syaifudin Abdul Rahman serta Pengarah MARDI negeri, Nik Adli Nik Muhammad.
Mengulas lanjut, Dr. Muhamad Akmal berkata, Melaka memerlukan 36 hektar tanah untuk penanam padi MR297 dalam usaha mengatasi isu kekurangan beras tempatan dalam jangka masa panjang.
Menurutnya, kebanyakkan lokasi penanaman padi di Negeri Melaka terletak dalam kawasan tahadan hujan dengan cuaca tidak menentu.
“Varieti MR297 ini memang sesuai dengan negeri ini kerana Melaka ini bukanlah seperti Kedah yang padinya ditanam di jelapang mempunyai bekalan air dari sungai atau tali air. Kita di Melaka banyak mengharapkan air hujan dan faktor geografi juga memainkan peranan.
“Jadi kita akan mulakan penanaman padi MR297 pada awal tahun ini dan hasilnya dapat dinikmati dalam tempoh satu ke dua tahun nanti,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.