Sorting by

×

Wanita didakwa simbah anak lelaki dengan air panas

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

MELAKA, 26 Sept – Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan menyimbah air panas terhadap anak lelakinya yang berusia 13 tahun, tahun lepas.

Tertuduh, 37, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas anak kandungnya itu dengan cara menyimbah air panas ke arah mangsa dalam kejadian pada 2.56 pagi, di sebuah rumah di taman perumahan kakitangan kerajaan di Sungai Udang, pada 27 Jun 2022.

Dia didakwa di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda atau sebat.

Dilaporkan, tertuduh bertindak demikian berikutan berang dengan anak kedua daripada empat beradik itu yang menghabiskan data jalur lebar telefon bimbitnya.

Tertuduh sebelum itu juga didakwa sering memukul anaknya dan tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa, namun terbongkar selepas rakan mangsa menyedari kotoran seperti kesan luka pada baju sekolah dipakai remaja terbabit.

Rakan mangsa kemudian memaklumkan kejadian itu kepada ibunya sebelum laporan dibuat kepada pihak polis.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishar memohon agar mahkamah tidak membenarkan jaminan memandangkan tertuduh dan mangsa tinggal di rumah sama.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun tidak membuat sebarang rayuan bagi jaminan.

Hakim Mohd Sabri Ismail kemudian bersetuju dengan permohonan pihak pendakwaan untuk tidak membenarkan ikat jamin selain menetapkan 26 Okt ini untuk sebutan semula kes.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4159
Kongsi :
Previous post Mohon segerakan jambatan sementara di Pulau Gadong
Next post Wujudkan ‘Academy in School’ bantu pelajar lepasan SPM – Exco
Ubah saiz-+=