140 suri rumah terima SKSSR PERKESO
AYER KEROH 24 September – Kira-kira 140 wanita di bawah Parlimen Hang Tuah Jaya menerima sumbangan tajaan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) selama setahun bermula hari ini.
Ahli Parlimennya, Adam Adli Abd Halim berkata sumbangan bernilai RM13,200 itu merupakan inisiatif piaknya dalam memberi perlindungan kepada suri rumah di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Katanya, menerusi SKSSR itu, golongan suri rumah yang mencarum akan tetpelihara dan tidak terjerumus kepada kadar kemiskinan tegar sekiranya berlaku musibah kepada keluarga mereka.
“Perlindungan SKSSR daripada PERKESO ini dapat membantu golongan suri rumah atau khususnya kaum wanita yang tidak bekerja jika ditimpa kemalangan di rumah.
“Dan pihak PERKESO dapat membantu memberi pampasan dan alat pemulihan yang jumlahnya sangat tinggi kepada pencarum.
“Saya harap golongan wanita di negeri ini dapat mengambil peluang mencarum SKSSR ini dengan nilai RM120 setahun bagi memastikan jaringan keselamatan sosial terutama suri rumah terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Libat Urus SKSSR Bersama Pemimpin Masyarakat di Wisma PERKESO di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah PERKESO negeri, Abd Razak Omar.
Menerusi program tersebut, Adam Adli juga turut menyampaikan sumbangan pendidikan kepada 17 pelajar yang bakal menyambung pengajian di dalam dan luar negara.
Dalam pada itu, Adam Adli turut memaklumkan pihaknya menerusi Pusat Khidmat Rakyat (PKR) Parlimen Hang Tuah Jaya turut memberikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan setiap bulan di pejabatnya di Bukit Baru.
“Untuk sumbangan pendidikan ini, setiap bulan memang ada yang memohon, dan yang mana kita dapat bantu telah pun menerima bantuan.
“Yang 17 orang ini pemohon terbaharu kita rangkumkan sekali dan ada sumbangan yang kita berikan berbentuk wang, komputer riba dan pelbagai lagi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.