Serabai istimewa dari Masjid Tanah

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER LIMAU 22 September – Dikaitkan sebagai kuih yang dihidangkan setiap kali ada kematian dalam kalangan masyarakat Melayu, tidak menenggelamkan populariti kuih serabai sebagai makanan kegemaran ramai terutama di Negeri Melaka.

Rasanya yang manis, berlemak dan tekstur yang lembut menyebabkan kuih serabai menjadi pilihan untuk dihidangkan pada majlis kenduri perkahwinan, malah permintaan pasti meningkat setiap kali Ramadan.

Meskipun asal-usulnya masih kabur, namun anak muda ini memilih untuk mengusahakan jualan kuih serabai kerana menganggap ia sebagai makanan kegemaran ramai selain bahan untuk menyediakannya yang mudah.

Ahmad Azri Ismail, 34 berkata, dia nekad memulakan perniagaan itu untuk bangkit semula selepas terkesan akibat pandemik COVID-19.

Dia sebelum ini terbabit dalam industri pengiklanan menjadi generasi ketiga mewarisi resipi kuih serabai daripada neneknya.

PENKEK MELAYU 2
CARA menghasilkan kuih serabai. Foto: MR. AZLI

Katanya, kuih tradisional yang berongga dimasak bersama kelapa parut dan tepung beras itu lebih menyelerakan jika dimakan bersama serawa durian.

Menurutnya, perniagaan itu pada mulanya diusahakan ibunya di rumah dan disediakan berdasarkan kepada tempahan diterima daripada pelanggan.

“Asal usul cerita daripada nenek dan ibu, menurut orang-orang tua kuih ini dahulunya adalah tradisi orang Masjid Tanah yang dimasak secara gotong-royong ketika berlaku kematian atau kenduri perkahwinan.

“Sekarang saya komersialkan makanan tradisional ini, bagi memastikan ia terus dikenali. Ramai juga yang anggap kuih serabai sebagai makanan untuk orang tua.

“Sehinggakan untuk memahamkan mereka apa itu kuih serabai saya terpaksa menyamakan ia seperti ‘penkek Melayu’ barulah mereka dapat gambarkan apa yang saya sampaikan,” katanya.

PENKEK MELAYU 6
AHMAD Azri menyajikan makanan tradisional Melayu iaitu kuih serabai kepada pelanggan yang mengunjungi kedainya di Kampung Ayer Limau, Masjid Tanah. Foto MR AZLI

Gerainya yang beroperasi di Kampung Ayer Limau dibuka setiap hari dari jam 11 pagi hingga 5.30 petang kecuali Isnin dan Jumaat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6387
Kongsi :
Previous post Sebang Sentral perlu siap sebelum hujung tahun
Next post Sukarelawan kebersihan bantu PBT indahkan Melaka
Ubah saiz-+=