300 duta pelancongan Melaka dipilih sempena TMM2024
BANDA HILIR 16 Sept – Seramai 300 individu menjadi ‘volunteer’ atau sukerelawan sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) setakat ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata jumlah itu bagaimanapun akan meningkat berikutan jumlah orang ramai yang mendaftar pada program itu turut meningkat hampir 2,000 penyertaan.
Katanya, 300 sukarelawan yang terpilih itu akan menjalani kursus dan pendedahan mengenai lokasi serta latar belakang lokasi sejarah di Melaka.
“Mereka ini akan ditempatkan di kawasan pelancongan Melaka dan dididik supaya menjadi duta pelancongan sekali gus membantu pelancong yang datang pada TMM2024 untuk mendapatkan maklumat.
“Contohnya, kita ada 21 muzium dan mereka akan ditempatkan di situ selain itu di Melaka River Cruise (MRC), Menara Taming Sari dan kawasan lain yang menarik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Volunteer TMM2024 di sini hari ini.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta timbalannya, Datuk Zaidi Attan dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP), Sa’ari Basiron.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, pada peringkat awal, penglibatan sukarelawan ini terdiri dalam kalangan anak muda sebelum mereka melangkah ke alam pekerjaan supaya dapat diterapkan semangat jati diri dalam diri golongan itu.
Katanya, penyertaan menggalakkan itu bagaimanapun turut diterima dalam kalangan individu lebih berusia malah ada juga dalam kalangan profesional.
“Kita akan berikan ‘segmentize’ (pembahagian) volunteer. Bagaimanapun, Kerajaan Negeri tidak menghalang golongan profesional ataupun individu lebih daripada usia yang kita tetapkan untuk menyertai sukarelawan ini, tiada masalah dan boleh diterima,” katanya,
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, semua sukarelawan ini akan dibekalkan dengan aplikasi pintar bagi membolehkan mereka mengakses maklumat pelancongan untuk diuar-uarkan kepada pelancong.
Katanya, ada kalangan sukarelawan dipilih juga mempunyai kriteria pandai berbahasa asing jadi mereka ini menjadi ‘bonus’ kepada Kerajaan Negeri untuk melayan pelancong asing seperti Jerman dan China.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.