Lapan bas untuk Zon Bebas Kenderaan
AYER KEROH 16 September – Panorama Melaka Sdn. Bhd. menyediakan lapan buah bas ‘on demand’ Kumpool Kasturi untuk kemudahan pengunjung Zon Bebas Kenderaan bermula hari ini.
Pengurus Besar Panorama Melaka Sdn. Bhd. Rohazam Bakar berkata, bas Kumpool Kasturi hanya beroperasi mengambil dan menghantar penumpang dalam radius tujuh kilometer dari Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir.
“Sebagai menyokong pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan kami menyediakan bas Kumpool Kasturi yang beroperasi sehingga jam 10 malam. Kami akan mengambil penumpang di Pusat Transformasi Bandar (UTC), Jalan Hang Tuah atau Terminal Melaka Sentral.
“Konsep bas Kumpool Kasturi ini seperti ‘e-hailing’, pengunjung perlu ‘request’ menggunakan aplikasi ‘ETA GPS Journey Planner Cashless’ yang juga baharu dilancarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Promosi Tahun Melawat Melaka 2024 yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di perkarangan Pusat Dagangan Abtarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Rohazam berkata inisiatif Kumpool Kasturi juga bertujuan untuk mengatasi isu kekurangan parkir bagi pengunjung mahu ke Zon Bebas Kenderaan.
“Inisiatif ini bagi memudahkan pengunjung ke Zon Bebas Kenderaan pada setiap hari Sabtu bermula jam 6 petang sehingga tengah malam. Pengguna dikenakan caj antara RM1 hingga RM5 bergantung kepada lokasi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.