Dari Beijing ke Melaka, suri rumah johan pidato
AYER KEROH 14 September – Seorang seorang suri rumah yang berkelana di Beijing, China seakan tidak menyangka percutiannya pulang ke kampung halaman di Malaysia memberikan rezeki di luar dugaan.
Ia selepas Siti Balqis Elias, 33, muncul juara keseluruhan pada Pertandingan Akhir Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan 2023 Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Lebih manis, ibu kepada seorang anak lelaki berusia empat tahun itu turut muncul johan bagi kategori Awam dan pemidato terbaik pada pertandingan itu.
Kejayaan itu, melayakkannya membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 berserta piala iringan dan sijil penyertaan.
Menurut Siti Balqis, dia masih tidak percaya perjalanan sejauh 5,650 kilometer dari Beijing ke Malaysia membuahkan hasil sehingga berjaya menewaskan 21 pemidato lain pada pertandingan akhir.
“Saya merupakan suri rumah sepenuh masa, berpindah ke Beijing sudah lima tahun kerana ikut suami bekerja di sana, sebenarnya saya tiada asas dalam bidang pidato, tetapi saya suka bercakap dan saya cabar diri saya untuk masuk pertandingan ini.
“Saya suka buat benda yang susah jadi saya cabar diri saya menyertai pertandingan ini, ini tahun kedua saya sertainya, tahun lepas saya masuk juga tetapi tiada rezeki untuk menang.
“Alhamdulillah tahun ini saya cuba lagi sehingga dapat masuk peringkat akhir dan merangkul tiga kemenangan untuk pertandingan pidato edisi kali ini,” katanya ketika ditemui pemberita.
Hadiah kemenangan itu telah disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.
Ditanya mengenai persiapan sebelum pertandingan, Siti Balqis berkata, dia tidak memerlukan persiapan yang lama kerana tujuannya pulang ke Malaysia hanyalah untuk bersama keluarga.
“Kebetulan minggu lepas saya balik Malaysia, tiba-tiba dapat panggilan layak ke pertandingan akhir, jadi tidak banyak persediaan dibuat kerana lebihkan aktiviti bersama keluarga.
“Tetapi saya cuba buat yang terbaik, teks pidato pula saya buat kajian sendiri, saya pilih mana isi penting yang saya rasa belum dikupas dengan memasukkan Negeri Melaka sebagai elemen utama dalam ucapan saya.
“Idea-idea juga saya banyak belajar daripada ‘Youtube’ bagaimana pemidato sebelum ini masuk pertandingan, saya belajar cara bagaimana untuk bercakap di khalayak ramai kerana berpidato ini satu seni yang mememerlukan emosi dan nada yang baik.
“Saya tidak mahu orang bosan dengan apa yang disampaikan, jadi saya perlu belajar supaya ianya lebih menarik dari awal sehingga habis ucapan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.