MiCoST perkukuh kerjasama pendidikan peringkat antarabangsa
BANDARAYA MELAKA 13 September – Melaka International College of Science And Technology (MiCoST) terus melebarkan sayapnya dalam bidang pendidikan dengan menawarkan pengajian berkualiti bukan sahaja di peringkat tempatan, malahan antarabangsa.
Baru-baru ini , MiCoST telah memeterai sebuah Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Manipal International University dan Manipal GlobalNxt University bagi memperkukuh kerjasama pendidikan antara universiti dan kolej.
MoU itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif MiCoST Datuk Mohamad Azmi Sabtu manakala Manipal GlobalNxt University diwakili Thava Kumar Devanayagam selaku Ketua Pembangunan Perniagaan dan Manipal International University, diwakili Naib Canselornya, Prof. Dr. Jason Robert Fitzsimmons.
Hadir sama pada majlis menandatangani MoU itu Pendaftar MiCoST Morita Mohamad; Pengarah Pembangunan Perniagaan Joshua Leong; Naib Canselor Pengarah Akademik Prof. Dr. Chinmoy Sahu; dekan- dekan dan ketua jabatan terlibat.
Menerusi kerjasama itu, ketiga-tiga institusi pengajian tinggi (IPT) dapat bekerjasama dalam bidang penyelidikan, selain pertukaran pelajar.
Selain itu, ia juga merangsang pihak terlibat untuk terus bersaing dalam penawaran program pengajian yang berkualiti bagi menarik lebih ramai pelajar antarabangsa dan tempatan melanjutkan pengajian di institusi masing-masing.
MoU berkenaan juga merangkumi kerjasama strategik dalam bidang penyelidikan saintifik dan latihan bakat antara universiti dan kolej; melaksanakan pertukaran kakitangan akademik, pensyarah, pelatih, pakar dan penuntut antara IPT.
“Kerjasama ini diharapkan dapat memberikan impak positif dalam membentuk modal insan yang berkualiti dan memperbaiki kualiti pendidikan,” kata MiCoST dalam satu kenyataan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.