40,000 dijangka hadir ke Jelajah Jualan Rahmah Mega
PAYA RUMPUT 13 September – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka akan menganjurkan Jelajah Jualan Rahmah Mega dengan memasarkan barangan keperluan asas pada harga lebih rendah berbanding pasaran.
Pengarah KPDN Melaka Norena Jaafar berkata, program dijadualkan berlangsung 30 September ini di Dataran Sejarah Ayer Keroh, dari jam 8 pagi hingga 10.30 malam itu akan disertai kira-kira 30 usahawan serta peniaga.
Katanya, pengguna diminta supaya tidak melepaskan peluang itu kerana produk makanan asas seperti minyak, tepung, beras dan telur ditawarkan dengan potongan harga sehingga 35 peratus.
“Meskipun ketika ini ramai mengeluh susah untuk mendapatkan beras, insya-Allah pada Jelajah Jualan Rahmah Mega nanti kita ada bekalan untuk pengunjung dan pastinya harga ditawarkan istimewa.
“Malah kita juga akan menghimpunkan peniaga yang ada menawarkan menu jualah Rahmah, iaitu RM5 untuk setiap hidangan seperti sebelum ini,” katanya.
Menurutnya, pada program sama Kraftangan Malaysia, Melaka menawarkan harga istimewa pakaian batik khususnya buat penjawat awam.
“Selain jualan dan riadah kanak-kanak, kita turut adakan aktiviti pengisian rohani disampaikan penceramah terkenal. Kita sasarkan 30,000 hingga 40,000 pengunjung akan hadir untuk mendapatkan barangan keperluan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.