Sorting by

×

Zon Bebas Kenderaan: Laluan pejalan kaki, kenderaan mobiliti akan diselaras semula

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

BANDA HILIR 10 September – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan menyelaras semula laluan melibatkan pejalan kaki, beca dan kenderaan mobiliti seperti skuter elektrik dan basikal pada hari Zon Bebas Kenderaan setiap malam Sabtu.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata pihaknya akan meneliti semula laluan terbaik untuk semua sebelum melaksanakan penyelarasan tersebut dalam masa terdekat.

Katanya, langkah itu diambil susulan berlaku kemalangan melibatkan pengguna skuter elektrik dalam kawasan Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir.

“Memang ramai orang pada hari pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan, laluan agak kelam-kabut di mana di situlah orang berjalan kaki, berbasikal, menaiki skuter elektrik dan laluan beca, jadi MBMB akan lihat semula laluan yang digunakan ini kita akan buat penyelarasan.

“Mengenai isu kemalangan itu, ia membabitkan dua pelajar di sebuah universiti swasta di Melaka dan perlanggaran skuter elektrik yang berlaku itu difahamkan akibat terlanggar sesama sendiri.

“Mungkin juga disebabkan faktor jalan yang ramai orang juga antara punca,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Shadan turut memaklumkan pihaknya akan mengambil serius setiap maklum balas yang diterima daripada pengunjung sepanjang empat minggu pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan.

“Sepanjang empat minggu kita laksanakan, setiap kali kami MBMB menerima maklum balas yang positif, ada juga yang negatif namun ia tetap akan diambil untuk perbaiki apa yang kurang.

“Kita melihat ramai yang menerima faedah dan manfaat dengan pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3502
Kongsi :
Previous post BN akan terus pertahan Kerajaan Perpaduan – Ahmad Zahid
Next post 50,000 ‘healing’ malam minggu di Banda Hilir
Ubah saiz-+=