Anak muda Kuala Merlimau johan bot berhias
MERLIMAU 10 September – Semangat bekerjasama 10 anak muda Kuala Merlimau menghias bot nelayan sempena kemerdekaan melayakkan mereka bergelar johan pada Pertandingan Bot Berhias Merdeka daerah Jasin 2023, hari ini.
Azman Shah Fuad Shah, 33, seakan tidak percaya hiasan saat akhir yang dilakukan pada malam sebelum pertandingan melayakkan mereka muncul juara.
Nelayan muda itu berkata, dia bersama rakan-rakan menghabiskan masa seharian hanya untuk menghias bot dengan lebih 100 Jalur Gemilang.
“Kami sepakat menghias bot bersama untuk menang pertandingan ini, hanya dalam masa sehari kami mampu siapkan hiasan.
“Modal untuk membeli Jalur Gemilang kami kumpul sama-sama, alhamdulillah lebih 100 bendera pelbagai saiz dipasang di bot kami.
“Kami masuk pertandingan ini sebab nak pupuk semangat kemerdekaan, lagi satu dekat tempat ini baharu kali pertama diadakan program sebegini dan kami pun baharu pertama kali sertai pertandingan,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di Jeti Kuala Merlimau, di sini, hari ini.
Terdahulu kumpulan anak muda berkenaan menerima hadiah kemenangan yang disampaikan oleh Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh.
Ditanya mengenai konsep hiasan bot berkenaan, Azman Shah berkata, ia lebih kepada mengetengahkan Jalur Gemilang yang menjadi kebanggaan negara.
Menurutnya, idea hiasan itu muncul pada saat-saat akhir hasil pandangan yang dikongsi bersama rakan-rakan pada sebelum pertandingan.
“Untuk idea memang semua beri pendapat masing-masing sampai hampir bergaduh kerana mahukan dekorasi terbaik untuk bot ini.
“Alhamdulillah banyak idea terhasil pada saat akhir. Disebabkan semangat berpasukan juga melayakkan kami menjadi johan pertandingan.
“Justeru, program sebegini perlu diadakan pada setiap tahun untuk mengumpul kembali anak-anak muda menyemai semangat patriotik,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.