PRK: Cuaca mendung dan hujan iringi proses pengundian di Pulai dan Simpang Jeram
Di Pulai, cuaca cerah pada sebelah pagi dilihat beransur mendung di 47 pusat pengundian, begitu juga dengan keadaan di Simpang Jeram yang mempunyai 14 pusat pengundian.
Menurut lawan web rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), cuaca diramalkan hujan di sebelah pagi dan ribut petir di sebelah petang bagi kedua-dua kawasan.
Sementara itu, pengundi dilihat hadir ke pusat pengundian seawal 7 pagi susulan peringatan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), agar pengundi digalakkan melaksanakan tanggungjawab lebih awal susulan keadaan cuaca yang tidak menentu.
Terdahulu petugas SPR, pasukan keselamatan serta petugas lain mula berkumpul seawal 6 pagi dan diberi taklimat mengenai tugas masing-masing di pusat pengundian sebelum ia dibuka pada 8Â pagi tadi.
Seramai 3,370 petugas SPRÂ bertugas dan seramai 4,000 pegawai dan anggota polis bertugas bagi memastikan kelancaran proses pengundian hari ini.
Ini termasuk pemantauan dan kawalan keselamatan di semua pusat mengundi, pusat penjumlahan undi dan kawasan sekitar serta kelancaran lalu lintas.
Mengikut SPR, seramai 165,509 pengundi memilih di Parlimen Pulai manakala 48,301 pengundi akan memilih di DUN Simpang Jeram.
PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram dilaksanakan susulan kematian penyandangnya iaitu Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.