TMM2024: Tambah kekerapan feri Indonesia di Kompleks ICQS
KOTA LAKSAMANA 8 September – Frekuensi jadual perjalanan feri dari Indonesia ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Melaka akan ditingkatkan bermula tahun hadapan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, perkara itu bertujuan untuk meningkatkan lagi jumlah kemasukan pelancong bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata kekerapan perjalanan feri akan ditingkatkan kepada empat kali sehari berbanding dua kali sahaja pada ketika ini.
“Sempena menyambut TMM2024, Kerajaan Negeri melakukan pelbagai persiapan antaranya menambah waktu perjalanan feri yang datang ke sini dengan merentasi Selat Melaka. Sepanjang kempen itu nanti kita akan susun seberapa banyak jadual feri yang boleh memasuki ICQS.
“Berdasarkan jadual pasang surut air kita dapati feri boleh berlabuh empat kali setiap hari. Kita patut bangga kerana ini adalah satu-satunya ICQS yang lokasinya di tengah bandar, secara tidak langsung mampu meningkatkan jumlah kunjungan pelancong antarabangsa di kawasan ini,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatannya ke Kompleks ICQS Melaka di Kota Laksamana, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Kanan Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin selain Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.
Turut hadir Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Datuk TPr. Murad Husin.
Pada lawatan itu Ab Rauf, turut meninjau keadaan jeti ketibaan dan projek mendalamkan kuala sungai di kawasan terbabit.
Menurut beliau, projek mendalam kuala sungai dimulakan sejak sebulan lalu antara persediaan bagi menambah naik kemudahan di kompleks terbabit sempena TMM2024.
“Projek ini dijangka siap dalam masa lebih kurang enam bulan, apabila siap nanti operasi keluar masuk feri akan menjadi lebih lancar,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.