Sorting by

×

‘Poghut Berpoloh’ warnai Hari Malaysia DUN Ayer Limau

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

AYER LIMAU 7 September – Program Poghut Ayer Limau Berpoloh 2023 yang diadakan pada 16 September ini bakal menyemarakkan semangat perpaduan sempena Hari Malaysia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, program tersebut bakal bermula seawal 8 pagi bertempat di Padang Taman Datuk Setia, Ramuan China Besar.

Jelasnya lagi, pelbagai aktiviti dan pertandingan menarik telah dirangka sepanjang hari tersebut dan dijangka ia akan dihadiri ribuan masyarakat berbilang kaum di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

“Kita mahu menghimpunkan kesemua ‘poghut’ dalam DUN Ayer Limau yang merupakan satu keluarga besar tanpa perbezaan mana-mana fahaman untuk bersatu dalam menyemarakkan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia.

“Pelbagai aktiviti menarik bakal dianjurkan antaranya sukaneka, tarik tali, memanah, 3on3 Netball, Street Soccer, sepak raga bulatan serta pelbagai lagi sukan rakyat lain.

“Selain itu, turut diadakan gerai jualan termasuk Jualan Rahmah yang menawarkan barangan keperluan asas pada harga murah,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Hameed yang juga Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri berkata, rakyat tanpa mengira fahaman atau warna kulit dijemput menghadiri program istimewa selama satu hari itu.

Katanya, mana-mana individu yang berminat menyertai pertandingan pada program tersebut boleh menghubungi Pejabat Japerun Ayer Limau di talian 06-696 6863 atau 017- 747 8287 (Puan Adibah).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1219
Kongsi :
Previous post ‘Saya Anak Malaysia’ lagu ikonik sepanjang zaman
Next post Remaja maut, seorang lagi parah motosikal bertembung
Ubah saiz-+=