TDM akan terima dua kepimpinan tertinggi baharu esok – PTD

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

KUALA LUMPUR, 5 Sept – Tentera Darat Malaysia (TDM) akan menerima beberapa kepimpinan tertinggi baharu bermula esok termasuk Panglima Tentera Darat (PTD), Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD) dan Panglima Medan Barat, kata Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

Beliau berkata TPTD Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan akan mengambil alih jawatan sebagai PTD yang ke-30.

Menurutnya, Panglima Medan Barat Lt Jen Datuk Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim pula akan mengambil alih jawatan sebagai TPTD yang baharu.

“Selain beliau, Panglima Divisyen Kedua Infantri Malaysia (Panglima 2 Divisyen) Mej Jen Datuk Muhammad Huzaimi Sabri akan dinaikkan pangkat Lt Jen dan dilantik sebagai Panglima Medan Barat yang baharu.

“Bermula esok akan berlaku perubahan ke atas kepimpinan ATM (Angkatan Tentera Malaysia) bahawa saya akan serahkan tampuk pemerintahan tentera darat kepada TPTD yang akan dinaikkan pangkat sebagai Jen dan dilantik sebagai PTD yang ke-30,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Istiadat Perbarisan Penghargaan Panglima Tentera Darat ke-29 di Dataran PTD Kem Perdana Sungai Besi, di sini, hari ini.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pengamal media yang menjadi ejen penghubung terus kepada masyarakat dalam memberikan dan menghebahkan maklumat berkaitan tugas peranan dan tanggungjawab amnya tentera darat,” katanya.

Istiadat Perbarisan itu terdiri daripada 12 Detasmen berkekuatan seramai 46 pegawai dan 1,110 anggota lain-lain pangkat yang diketuai oleh Lt Kolonel Mohd Azroi Ariffin Shah – Pegawai Memerintah Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Perbarisan itu melibatkan tujuh Panji-Panji Rejimen dan Kor di dalam Tentera Darat Malaysia iaitu Panji- Panji Rejimen Askar Melayu Diraja, Rejimen Renjer Diraja, Kor Armor Diraja, Rejimen Semboyan Diraja, Rejimen Askar Jurutera Diraja, Rejimen Artileri Diraja dan Kor Perkhidmatan Diraja sebagai penghargaan dan penghormatan kepada Mohammad.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1537
Kongsi :
Previous post Tiga polis direman tujuh hari bantu siasatan dakwaan terima rasuah
Next post Tidak perlu lagi tadah air hujan guna besen
Ubah saiz-+=