Sorting by

×

Kerajaan ambil pendekatan berbelanja secara berhemat – PM

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

PUTRAJAYA 4 Nov – Kerajaan telah mengambil pendekatan berbelanja secara berhemat terutamanya bagi perbelanjaan mengurus dan pada masa sama mengoptimumkan pendapatan daripada pelaburan dan syarikat milik kerajaan, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau mengakui bahawa ekoran krisis COVID-19 itu, kerajaan menghadapi cabaran fiskal berikutan kejatuhan ketara pendapatan cukai bagi tahun 2020 dan 2021.

Harga minyak yang rendah turut menjejaskan pendapatan kerajaan.

“Bukan sahaja Malaysia, negara-negara lain di seluruh dunia turut berhadapan masalah yang serupa. Tetapi, sekiranya kita perlu berbelanja untuk membantu rakyat, kita harus mencari jalan untuk melakukannya,” kata beliau dalam temu bual bersama Bernama dan stesen televisyen tempatan, menjelang pembentangan Belanjawan 2021 pada Jumaat ini.

Matlamat utama kerajaan adalah untuk memastikan sumber mencukupi bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan kelangsungan perniagaan.

“Kita tidak mahu rakyat menderita,” kata Perdana Menteri.

Sehubungan itu, kerajaan telah membenarkan defisit fiskal meningkat ke paras 6.0 peratus bagi tahun 2020, demi membiayai perbelanjaan tambahan kerajaan dalam menangani penularan wabak COVID-19 dan langkah pakej rangsangan ekonomi, PRIHATIN, PENJANA dan KITA PRIHATIN.

Kerajaan juga telah menaikkan nisbah hutang berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada had statutori 55 peratus kepada 60 peratus sekarang, yang memberikan banyak ruang untuk kerajaan melaksanakan belanjawan pengembangan.

Bagaimanapun, Muhyiddin memberi jaminan bahawa, sebaik sahaja ekonomi kembali kukuh dan aliran pendapatan kerajaan semakin baik, kerajaan akan mengukuhkan disiplin fiskalnya.

— BERNAMA

Views:

693
Kongsi :
Previous post Banjir kilat: Hasrat ambil anak terbantut
Next post Bayi ditemui di dalam semak
Ubah saiz-+=