Sketsa ‘Pohon Lima’ bawa tuah SMK Ghafar Baba
TANJUNG BIDARA 5 September – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ghafar Baba, Masjid Tanah muncul johan Pertandingan Sketsa Rukun Negara 2023 Peringkat Negeri Melaka di Kompleks Falak Al-Khawarizmi di sini, semalam.
Kemenangan itu sekali gus melayakkan sekolah berkenaan mewakili Negeri Melaka untuk memasuki pertandingan itu di peringkat kebangsaan pada Oktober depan.
Guru Pembimbing, Suliman Hapsun berkata, tajuk sketsa ‘Pohon Lima’ yang dipersembahkan nyata membawa tuah kepada pelajarnya membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, piala sekolah dan individu serta sijil penyertaan.
“Sebenarnya usaha tidak mengkhianati hasil (dan) usaha anak-anak didik saya yang sanggup korbankan cuti sekolah mereka minggu lepas untuk bertanding pada hari ini, Alhamdulillah membuahkan hasil.
“Sketsa ‘Pohon Lima’ menggambarkan tentang dua perwatakan anak orang kaya dan miskin. Dalam sketsa ini kita tekankan bahawa dalam Malaysia ini tiada siapapun yang berbeza semuanya sama.
“Persiapan hampir sebulan kerana mahu buat penilaian skrip, pemilihan pelakon dan latihan intensif, saya mahu lakonan mereka (anak didik) ini bersahaja dan tidak kaku sewaktu di pentas,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pertandingan tersebut.
Pertandingan itu disempurnakan oleh Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan.
Hadir sama Pengarah Jabatan Penerangan Negeri (JaPeN) Melaka, Shahrom Ravindaram Abdullah dan lain-lain kenamaan.
Kemenangan SMK Ghafar Baba sekali gus menewaskan lima pesaing yang turut berentap dalam pertandingan itu.
Menurut Suliman, bagaimanapun anak didiknya kini juga sedang membuat persiapan bagi pertandingan drama Bahasa Melayu peringkat negeri Melaka.
“Kami sekarang dalam persiapan untuk drama Bahasa Melayu peringkat negeri, kita akan bertanding pada hari Khamis ini, tetapi pertandingan hari ini sebagai pemanas badan untuk pelajar.
“Alhamdulillah semua pelajar mengikut jadual yang ditetapkan, saya memang disiplinkan mereka patuhi jadual latihan, jam berapa hadir dan habis latihan termasuklah waktu solat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.