Aplikasi ‘Smart Farming’ elak orang tengah – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

JASIN 2 September – Melaka bakal membangunkan aplikasi ‘Smart Farming’ bertujuan untuk membantu petani dan pekebun di negeri ini memasarkan produk mereka tanpa pembabitan orang tengah.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berharap inisiatif itu dapat dilaksanakan pada 2024 nanti.

Katanya, projek itu dijangka membabitkan kos RM2.5 juta dan pihaknya ketika ini sedang menunggu kelulusan bajet daripada Kementerian Kewangan.

Dr. Muhamad Akmal, menjangkakan lebih 1,200 pengguna akan berdaftar dan memperoleh manfaat hasil aplikasi itu

“Usaha ini juga telah dipanjangkan kepada pengetahuan Timbalan Menteri Kewangan l, Datuk Seri Ahmad Maslan pada sesi libat urus dengan Kerajaan Negeri pada bulan lalu.

“Jawatankuasa Pertanian Pintar ini telah ditubuhkan dan menunggu kelulusan bajet bagi mengurangkan pembabitan orang tengah yang mana petani boleh terus berurusan dengan pembeli.

“Kalau kata mahu beli cili, boleh buka aplikasi itu nanti dan cari kawasan yang berdekatan yang mengusahakan cili, jadi boleh terus beli dari ladang dengan harga jauh lebih murah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Hari Ladang dan Program Pertanian Bandar Peringkat Daerah Jasin Tahun 2023 di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Selandar, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan; Pengarah Pertanian Negeri Melaka, Rozli Azizi Talib dan Pegawai Daerah Jasin, Datuk Rahizi Ranom.

Ujarnya jika berjaya, aplikasi itu akan diperluaskan bagi sektor penternakan dan perikanan untuk dimanfaatkan bersama.

“Sekarang ini kita perlu menggunakan teknologi, bukan untuk memasarkan, sebaliknya mengurangkan risiko lambakan produk pertanian,” katanya.

Tambahnya, sebanyak RM10.6 juta peruntukan telah disalurkan melalui Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk sektor pertanian di Melaka tahun ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

990
Kongsi :
Previous post Agong titah semua pihak tumpu pelaksanaan pembaharuan struktur ekonomi, tingkat daya saing
Next post 223 usahawan tani Jasin terima bantuan pertanian
Ubah saiz-+=