Remaja 17 tahun dituduh bunuh jiran
TELUK INTAN, 1 September – Seorang remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki yang juga jirannya, dua minggu lepas.
Tertuduh berusia 17 tahun itu didakwa membunuh P. Hariaran, 21, di tepi Jalan Pasir Kampung Sungai Payung Baroh, Selekoh, di Bagan Datuk antara pukul 6 petang hingga 8.30 malam, 20 Ogos 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun, serta jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati di bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001, namun boleh diganti dengan hukuman penjara, selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong sekiranya kesalahan dilakukan di Wilayah Persekutuan dan Raja atau Yang di-Pertuan Negeri sekiranya dilakukan di negeri-negeri lain.
Prosiding kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Intan Nurul Farena Zainal Abidin dijalankan secara tertutup kerana remaja itu di bawah umur.
Mahkamah menetapkan 5 Okt ini untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan DNA (asid deoksiribonukleik) dan patologi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Cheah Shuh Yuan manakala remaja itu diwakili peguam Charanjit Singh.
Pada 28 Ogos, media melaporkan polis menahan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun kerana disyaki membunuh seorang lelaki yang mayatnya ditemukan dalam parit di Jalan Pasir, Kampung Sungai Payung Baruh, Rungkup, Bagan Datuk.
Siasatan awal mendapati punca pembunuhan dipercayai adalah disebabkan remaja itu cemburu kepada si mati kerana mengganggu teman wanitanya yang berusia 20 tahun.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.