Hampir 10,000 terlibat perarakan merdeka Melaka di Banda Hilir
BANDA HILIR 29 Ogos – Hampir 10,000 peserta akan mengambil bahagian dalam acara perbarisan dan perarakan sempena Hari Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri Melaka yang akan diadakan di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir, Khamis ini.
Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Negeri Melaka Shahrom Ravin Daram Abdullah berkata, setakat ini 9,884 peserta akan mengambil bahagian sekali gus menjadikannya sambutan terbesar selepas pandemik COVID-19.
Jelas beliau, antara yang terlibat pada perarakan itu ialah badan beruniform seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Selain itu, katanya, ia turut membabitkan jabatan dan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta pelajar sekolah.
“Perbarisan dan perarakan itu akan membabitkan seramai 8,004 orang dengan 179 kontinjen dan 593 aset yang mengambil bahagian.
“Yang pastinya pada hari itu pertunjukan aset daripada JBPM dan ATM akan mencuri tumpuan pengunjung yang hadir ke sini.
“Boleh katakan ini sambutan terbesar selepas negara dilanda COVID-19 memandangkan pada tahun lalu tiada perarakan dianjurkan di Melaka,” katanya.
Beliau ditemui selepas sesi raptai penuh Sambutan Hari Kebangsaan 2023, di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, hari ini.
Menurut Shahrom Ravin, istimewanya juga pada tahun ini sempena Kemerdekaan ke-66 negara, sambutan berkenaan turut membabitkan perarakan di Sungai Melaka.
“Buat pertama kalinya sebanyak 12 bot dari Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) akan turut berarak di sepanjang Sungai Melaka yang akan bermula dari Taman Rempah hingga ke Muara Sungai Melaka.
“Buat masa ini ia hanya membabitkan kekuatan aset dengan 300 peserta dari PPSPM namun masih menunggu sekiranya ada penyertaan saat akhir dari agensi lain,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, dianggarkan kira-kira 20,000 pengunjung dijangka akan hadir untuk menyaksikan sambutan ini yang akan diserikan lagi dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.