Merdeka 66 :Guna bahan kitar semula luah rasa cinta pada negara
PANTAI KUNDOR 28 Ogos – Seorang suri rumah menghabiskan masa hampir dua minggu pada setiap Ogos untuk menghias kediamannya berkonsepkan kemerdekaan bagi menzahirkan semangat patriotik.
Rokiah Mahmud, 58, berkata dia yang mahu mengekalkan kejuaraan pertandingan Rumah Ceria Merdeka Kampung Pantai Rombang itu menganggap bulan Ogos adalah bulan yang sangat istimewa baginya.
Katanya, memasuki tahun kedua penganjuran pertandingan rumah ceria merdeka itu, dia mahu mengekalkan keistimewaan bulan tersebut kerana mahu silaturahim antara anak-beranak kekal.
“Saya sudah menganggap bulan Ogos sangat istimewa untuk saya dan keluarga kerana anak-anak dan menantu sama-sama membantu menghias kediaman setiap kali menjelang Bulan Kemerdekaan.
“Sekalipun akan datang tiada lagi Pertandingan Rumah Ceria Merdeka ini, saya tetap mahu menghias rumah apabila tibanya bulan Ogos sebagai tanda patriotik.
“Jika ditanya mahu menang, sudah tentu kita nak kekalkan kemenangan, namun bukan itu tujuan utama saya menghias rumah begini ceria, (sebaliknya) saya mahukan hubungan rapat antara kami anak beranak kekal kerana setiap kali bulan Ogos tiba kerana mahukan suasananya meriah seperti hari raya,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Rokiah berkata kelainan pada hiasan yang diketengahkan pada tahun ini adalah membuat perigi menggunakan tayar terpakai dan pokok bunga menggunakan Jalur Gemilang.
“Selain itu, saya juga menggunakan botol-botol plastik untuk membuat hiasan sekeliling rumah dengan mengecatnya serta pelbagai lagi hiasan menggunakan barangan yang boleh dikitar semula.
“Ini antara semangat yang kami anak beranak ketengahkan untuk menyemai rasa cintakan negara sempena Kemerdekaan ke-66 tahun ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.