Sorting by

×

Melaka buka taman pengeluaran makanan Machap tidak lama lagi

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

AYER KEROH 27 Ogos – Kerajaan Negeri akan membuka kawasan baharu bagi Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di kawasan seluas kira-kira 12.140 hektar (30 ekar) di Machap Jaya, Alor Gajah, hujung tahun ini.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, projek itu merupakan TKPM kedua yang dibuka di Melaka selepas di Selandar.

Katanya, pembukaan TKPM Machap Jaya itu akan memberi manfaat dan faedah kepada lebih 1,000 peserta untuk mengusahakan aktiviti pertanian dan pengeluaran makanan.

“TKPM ini bertujuan menggalakkan aktiviti pertanian, perikanan dan pengeluaran makanan berskala besar menggunakan teknologi terkini.

“Di TKPM Machap ini, saya mahu penyertaan daripada Persatuan Nelayan Melaka atau nelayan-nelayan yang terjejas untuk mengusahakan tanah di TKPM ini.

“Ini membolehkan nelayan terutama nelayan pantai yang terjejas menerima manfaat ini dalam meningkatkan taraf kehidupan mereka dengan bertani di TKPM ini.

“Usahakanlah apa sahaja yang membuahkan hasil dan ini merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri untuk membantu nelayan meningkatkan pendapatan mereka dengan tidak bergantung semata-semata melalui hasil tangkapan ikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Usahawan myAP dan myKP Zon Selatan Tahun 2023 di sebuah pasar raya, di sini, semalam.

IMG_20230826_220354_827
DR. Muhamad Akmal pada sidang media selepas merasmikan Karnival Usahawan myAP dan myKP Zon Selatan Tahun 2023 di sebuah pasar raya di Ayer Keroh. Foto: MR. AZLI

Mengulas lanjut, Dr. Muhamad Akmal berkata, menjadi hasrat Kerajaan Negeri untuk melihat lebih banyak TKPM dibuka di Melaka, namun ia bergantung kepada peruntukan dan belanjawan yang disediakan.

“Saya memang bercadang untuk buka TKPM ini di setiap daerah dalam Melaka kerana ramai yang akan menerima limpahan manfaat dan faedah.

“Namun semuanya bergantung kepada bajet yang disediakan dan syukur Melaka sudah mempunyai dua TKPM selepas di Machap yang dianggarkan akan dibuka pada hujung tahun atau awal tahun hadapan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2317
Kongsi :
Previous post Melaka giat ternak ‘kerang padu’, ‘kupang manis’
Next post Adun Duyong, Mohd Noor Helmy dianugerahkan Datuk
Ubah saiz-+=