15 penternak akuakultur Melaka terima bantuan RM425,060
AYER KEROH 26 Ogos – Seramai 15 penternak akuakultur di Melaka menerima bantuan menerusi Sistem Penyampaian Khidmat Sokongan (SPeKS) berjumlah RM 425,060.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, bantuan diberikan adalah berbentuk peralatan menternak hidupan akuakultur seperti kincir angin, pam air, jaring tangkap ikan dan udang galah, makanan ikan serta benih ikan.
Selain itu, katanya, seramai enam penternak dan usahawan myAgropreneur Perikanan (myAP) dan myKomuniti Perikanan (myKP) di negeri ini turut menerima peruntukan sebanyak RM158,500.
“Program myAgropreneur Perikanan (myAP) adalah program pembangunan usahawan perikanan di bawah bimbingan Jabatan Perikanan Melaka bagi pelaksanaan program keusahawanan agropelancongan serta perikanan rekreasi.
“Manakala, program myKomuniti Perikanan (myKP) pula berkonsepkan komuniti perikanan setempat yang menjalankan aktiviti pengurusan sumber perikanan, perikanan tangkapan, akuakultur, industri asas tani perikanan, industri sokongan perikanan.
“Pada program ini juga Jabatan Perikanan Melaka menyerahkan kunci Pusat Inkubator Pemprosesan yang terletak di Batu Berendam kepada usahawan keropok lekor,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Karnival Usahawan myAP dan myKP Zon Selatan Tahun 2023 di sebuah pasaraya di sini hari ini.
Karnival tersebut telah dirasmikan oleh Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan, Jabatan Perikanan Malaysia, Wan Muhammad Aznan Abdullah dan Pengarah Perikanan Melaka, Mohd Fauzi Salehon.
Mengulas lanjut, Adnan berkata, kerajaan telah memperuntukkan lebih RM2 juta kepada lebih 700 pengusaha usahawan myAP dan myKP di seluruh negara pada tahun ini.
“Bagi mencapai sasaran Dasar Pertanian Negara 3 (DPN3), program myAP dan myKP bertujuan bagi melahirkan lebih ramai lagi usahawan yang berkualiti selain daripada memberi latihan yang bersistematik yang boleh meningkatkan kemahiran serta kepakaran dalam bidang keusahawanan.
“Pelaksanaan program-program seumpama ini bukan sekadar dapat mengoptimumkan impak dalam memajukan rakyat secara menyeluruh malah ianya selari dengan pencapaian matlamat Dasar Agromakanan Negara (DAN),” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.