Sorting by

×

Syarikat pengeluar telur didenda RM25,000

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 4 Nov. – Sebuah syarikat pengeluar telur ayam didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, di sini semalam atas kesalahan mencatut dalam perniagaan menjual telur ayam gred A.

Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Melaka Norena Jaafar dalam satu kenyataan berkata, Hakim Norma Ismail menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, syarikat LTK (Melaka) Sdn. Bhd., mengaku bersalah atas kesalahan itu.

Katanya, berdasarkan kertas pertuduhan, syarikat terbabit didakwa melakukan kesalahan tersebut di premis terbabit di Batu 11 1/2 Durian Tunggal, dekat sini.

“Mahkamah sebelum ini telah mengarahkan syarikat tersebut membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah sepanjang perbicaraan berlangsung sejak 16 April 2019 lalu.

PENGARAH Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka Norena Jaafar

“Oleh itu Syarikat LTK (Melaka) Sdn. Bhd., telah disabitkan dengan pertuduhan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP 2011) ,” katanya.

Beliau berkata, ketika prosiding berlangsung, tertuduh dalam rayuannya meminta hukuman ringan diberikan dengan alasan kesalahan itu pertama kali dilakukan dan ia membabitkan faktor teknikal.

Jelasnya, tertuduh juga memberi alasan penurunan harga telur di pasaran sedikit sebanyak menjejaskan perniagaan syarikat.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Syazwani Zawawi dan dibantu Pegawai Pendakwa Sallim Wahid, manakala tertuduh diwakili peguam Nasdan Rengganathan Abdullah.

Views:

455
Kongsi :
Previous post Lelaki dipercayai hilang dalam banjir kilat
Next post Industri pelancongan sedang ‘nazak’
Ubah saiz-+=