Melaka pertaruh 627 ‘bintang’ muda di Kejohanan MSSM
AYER KEROH 24 Ogos – Seramai 627 atlet Melaka yang terdiri daripada 15 kontinjen bakal beraksi di kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Peringkat Kebangsaan 2023 Penggal I yang akan bermula esok.
Ketua Penolong Pengarah, Unit Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Melaka Dr. Mohd Aras Khamis berkata, kejohanan fasa pertama itu akan berlangsung sehingga 30 Ogos di beberapa venue dalam negara.
Beliau berkata, secara keseluruhan kejohanan itu membabitkan 24 jenis sukan, namun bagi penggal pertama sebanyak 16 sukan dipertandingkan manakala lapan lagi pada penggal kedua dijangka September depan.
“Untuk fasa pertama ini, kita akan beraksi dalam 16 sukan yang membabitkan 627 atlet dan kira-kira 200 pegawai.
“Kejohanan sukan ini akan berlangsung di banyak lokasi antaranya bagi sukan pelayaran akan diadakan di Pulau Langkawi, ping pong di Sarawak, boling di Pulau Pinang dan Melaka pula menjadi tuan rumah kepada sukan hoki,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut beliau, pada kejohanan ini dua acara menjadi sasaran untuk berada di kedudukan terbaik dan melangkah ke pertandingan akhir berdasarkan pencapaian kejohanan sebelum ini.
“Bagi kejohanan penggal pertama ini kita sasarkan dua pasukan yang akan mendapat kedudukan terbaik iaitu sekurang-kurangnya dapat menempatkan diri ke pertandingan akhir iaitu bagi acara ping pong dan sepak takraw.
“Sebenarnya kita tidak sepenuhnya melihat kepada pencapaian lepas kerana mungkin tahun lepas pasukan baru dalam ‘built up’ dan tahun ini sudah sepenuhnya bersedia.
“Malah boleh katakan untuk 16 acara ini kebanyakkan atlet kita pernah beraksi di Sukan Malaysia (Sukma) dan ini antara kelebihan juga buat kita meskipun negeri Selangor menjadi pesaing sengit,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.