Kedai tayar terpakai tempat pembiakan jentik-jentik dikompaun
PAYA RUMPUT 23 Ogos – Lima kedai tayar dikenakan kompaun selepas longgokan tayar di luar premis terbabit dikesan menjadi tempat pembiakan jentik-jentik, dalam Ops Tayar, hari ini.
Operasi yang dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka, itu diadakan di sekitar Paya Rumput, Jalan Laksamana Cheng Ho, Taman Teknologi Cheng dan Taman Semabok Perdana, bermula jam 3 petang tadi.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem berkata, dalam operasi khas itu sebanyak 14 premis tayar di sekitar Melaka Tengah diperiksa oleh penguatkuasa JKN dan hasilnya lima kompaun dikeluarkan.
“Kompaun itu dikeluarkan JKN selepas mendapati terdapat tayar-tayar terpakai itu menjadi tempat pembiakan jentik-jentik seperti di lokasi ini (Paya Rumput) puluhan jentik-jentik ditemui didalam longgokan tayar.
“Kesemua kompaun yang dikeluarkan dibawah Seksyen 8(3) (aa) Penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 itu bernilai RM2,500 bagaimanapun tiada premis yang diarahkan tutup.
“Kita mengarahkan mereka untuk melakukan pembersihan segera dalam tempoh tiga hari jika didapati gagal tindakan susulan akan diambil ke atas kesemua lima premis ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai Ops Tayar yang turut disertai Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Rusdi Abd Rahman, di Paya Rumput, hari ini.
Hee Sem berkata, beberapa sampel jentik-jentik yang ditemui di dalam takungan air dalam longgokan tayar terpakai turut diambil untuk dihantar ke makmal bagi tindakan lanjut.
“Operasi ini diadakan apabila kita mendapati longgokan tayar terpakai yang diletakkan di luar premis seperti lorong belakang, tanah terbiar atau bahu jalan menjadi antara tempat berpotensi berlaku pembiakan nyamuk aedes sekali gus menyumbang kepada peningkatan kes denggi di Melaka.
“Sebelum operasi dijalankan hari ini, risikan terlebih dahulu dijalankan bagi mengenal pasti premis-premis yang disyaki tidak menguruskan tayar terpakai di luar premis dengan betul,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.