Minimakan peratusan bekas banduan kembali ke penjara
SUNGAI UDANG 22 Ogos – Jabatan Penjara Malaysia melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menurunkan lagi peratusan bekas banduan yang kembali semula ke institusi itu kerana melakukan kesalahan berulang.
Ketua Pengarah Penjara Malaysia, Datuk Nordin Muhamad berkata, Program Sinar Di Sebalik Tirai dilaksanakan dengan kerjasama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) antara inisiatif untuk mencapai objektif itu.
Katanya, perantis atau peserta dipilih mengikuti Program Sinar Di Sebalik Tirai Besi adalah dalam kalangan penghuni penjara yang jalani hukuman kurang dari lima tahun.
“Berdasarkan pengalaman kita melaksanakan program pemulihan, kadar pengulangan jenayah mereka yang dibebaskan terus adalah 18.7 peratus.
“Maksudnya setiap 100 orang, 18 orang akan masuk semula ke penjara dalam tempoh tiga tahun selepas bebas, berbanding melalui program ini, kadarnya cuma 0.24 peratus atau seorang bagi setiap 500 yang dibebaskan,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Sinar Di Sebalik Tirai Besi Inisiatif Pensijilan Kemahiran Malaysia Bidang Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir di Penjara Sungai Udang, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin.
Mengulas lanjut, Nordin berkata Jabatan Penjara amat menyokong usaha Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi SWCorp.
Jelasnya, beliau berharap inisiatif itu akan diperluaskan lagi dan menarik lebih ramai pihak mahu bekerjasama dengan Jabatan Penjara menjalankan program seumpama itu.
“Kita amat menyokong usaha yang dilakukan ini, di mana ia boleh melindungi masyarakat daripada menjadi mangsa perbuatan jenayah berulang oleh banduan.
“Sekaligus menawarkan pekerjaan dan menyediakan faedah dan manfaat yang sama seperti pekerja-pekerja sedia ada,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.