Sorting by

×

Program R&D pertahanan pupuk minat pelajar dalam inovasi

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

ALOR GAJAH, 22 Ogos – Kementerian Pertahanan menerusi Institut Penyelidikan Sains & Teknologi Pertahanan (STRIDE) akan melaksanakan program membudayakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) secara berterusan di peringkat sekolah menengah bagi memupuk serta meningkatkan minat pelajar terhadap bidang itu.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata program itu melibatkan dua aktiviti utama iaitu Cakna Sains, Teknologi dan Inovasi Pertahanan serta Pertandingan Inovasi Pertahanan bertemakan ‘Future Soldier’ atau Tentera Masa Hadapan.

“Program ini dilaksana bagi memperkenal dan menggalakkan penglibatan pelajar dalam sains dan teknologi secara amnya dan secara khususnya dalam aktiviti penyelidikan pertahanan.

“Penglibatan pelajar dalam program reka cipta dan inovasi seperti ini seharusnya menjadi langkah awal dalam menyuntik semangat pelajar sekolah untuk menjadi modal insan yang mampu berfikir secara kritis, kreatif dan berdaya saing,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Pogram Membudayakan R&D Pertahanan di Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Durian Tunggal dan turut dihadiri Ketua Pengarah STRIDE Datuk Aminudin Yahaya.

Adly berkata penganjuran program seumpama itu juga diharap dapat mengatasi masalah kurang minat pelajar dalam menekuni ilmu sains dan teknologi.

Beliau berkata STRIDE selaku institusi penyelidikan pertahanan negara akan terus memainkan peranan membantu Kementerian Pendidikan dalam usaha untuk memupuk budaya daya cipta dalam kalangan pelajar sekolah selaku pewaris generasi masa hadapan.

“Menerusi program Cakna Sains, Teknologi dan Inovasi Pertahanan, penyelidik STRIDE akan mengadakan kunjungan ke sekolah terpilih bagi memberi pendedahan mengenai aktiviti penyelidikan selain mengadakan pameran kemajuan teknologi pertahanan.

“Bagi pertandingan Inovasi Pertahanan yang dibuka sejak 24 Mei hingga 4 Sept depan, sehingga kini terdapat 46 penyertaan daripada sekolah menengah seluruh negara,” katanya.

Menurut Adly pengisian program membudayakan R&D Pertahanan di Sekolah mampu menyemarakkan lagi minat pelajar terhadap teknologi pertahanan seterusnya melahirkan teknokrat pertahanan tempatan pada masa hadapan.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1218
Kongsi :
Previous post JKM Melaka bersedia hadapi banjir
Next post Peluang kedua untuk 3,000 penghuni penjara
Ubah saiz-+=