Sorting by

×

Melaka persinggahan pertama Jelajah Belanjawan 2024

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

SERI NEGERI – Melaka menjadi negeri pertama sesi libat urus Kementerian Kewangan (MoF) bersama Kerajaan Negeri, bagi mengumpul input berhubung belanjawan menerusi Jelajah Belanjawan 2024.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata menerusi jelajah diadakan, pihaknya mengambil kira pandangan dan cadangan peringkat akar umbi, terutamanya rakyat serta industri setempat.

Katanya, siri kedua jelajah dijadualkan di Johor pada Jumaat ini dan dijangka dihadiri sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan.

“Menerusi sesi dialog bersama barisan Exco Kerajaan Negeri, ketua-ketua jabatan, wakil syarikat dan pemain industri, kita mendengar kesemua cadangan serta mengambil kira setiap apa diucapkan.

“Saya juga ambil maklum ucapan Ketua Menteri, melibatkan permohonan projek baharu dan projek sambungan.

“Menerusi Jelajah Belanjawan 2024 ini apa yang diharapkan adalah segala cadangan oleh Kerajaan Negeri mestilah menjadikan ekonomi Madani, memperkasa rakyat sebagai tema berkaitan.

“Menerusi belanjawan yang mampan, kita mahu Malaysia tergolong dalam 30 negara ekonomi besar dunia, di mana kita (Malaysia) ketika ini berada di tangga ke-37,” katanya.

photo_2023-08-21_16-38-58
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bersama Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika hadir sempena Program Jelajah Timbalan Menteri Kewangan I Sempena Penyediaan Belanjawan 2024 di Auditorium Seri Negeri, Ayer Keroh. Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari. Foto Iqmal Haqim Rosman

Beliau berkata demikian pada sidang media Program Jelajah YB Timbalan Menteri Kewangan 1 Ke Negeri Melaka Sempena Penyediaan Belanjawan 2024 di Auditorium Seri Negeri, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Fairul Nizam Roslan; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Turut hadir, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Nordin, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh serta kenamaan lain.

Katanya, siri Jelajah Belanjawan 2024 dan sesi dialog ke negeri-negeri akan berakhir di Sarawak dan dijangka mengambil masa selama sebulan.

“Belanjawan 2024 dijadualkan dibentang di Parlimen pada 13 Oktober ini. Pada Belanjawan 2024 ini juga akan dimaklumkan berita gembira seperti kenaikan gaji, faedah-faedah mengenai penjawat awam dan pelbagai lagi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1573
Kongsi :
Previous post KYSBS terima 30 pelajar baharu
Next post CVR pesawat dihantar ke Singapura untuk analisis rakaman suara
Ubah saiz-+=