Suntik peruntukan, insentif kembangkan ekonomi Melaka
SERI NEGERI 21 Ogos – Kekangan seperti hasil bumi yang terhad, bukan alasan bagi Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, dalam merealisasikan komitmen beliau untuk melihat Negeri Melaka menjadi destinasi tumpuan pelancong dan pelaburan antarabangsa.
Berikutan itu Ab Rauf, berharap Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kewangan mempertimbangkan hasrat Kerajaan Negeri untuk mendapatkan lebih banyak peruntukan dan insentif bertujuan menggerakkan ekonomi Melaka menerusi pelbagai projek yang dirancang.
Katanya, sokongan Kerajaan Persekutuan amat diharapkan bagi menampung dan membangunkan Negeri Melaka yang kini mula menjadi tumpuan global.
Ab Rauf berkata, Melaka adalah sebuah negeri mesra pelabur dan setakat pertengahan tahun ini, sebanyak RM5 bilion nilai pelaburan berjaya diraih, nilai itu hampir menepati sasaran pelaburan Kerajaan Melaka bagi 2023 iaitu RM6 bilion.
“Beberapa perancangan telah dirangka untuk merancakkan hasil pelaburan Negeri Melaka antaranya mempromosikan Zon Ekonomi Pesisir Pantai Melaka (M-WEZ), merangkumi perimeter seluas 25,000 ekar sepanjang 33 kilometer persisiran pantai Melaka, dari Tanjung Bruas sehingga ke Umbai.
“Lokasi begitu strategik di perairan Selat Melaka dengan anggaran sebanyak 100,000 kapal setahun, M-WEZ berpotensi besar menjadi ‘Game Changer’ kepada pembangunan negeri bagi tempoh 25 hingga 30 tahun akan datang.
“Turut dirancang adalah pembukaan Taman Teknologi Jerman di Ayer Keroh, dijangka mampu membawa pelaburan berjumlah RM4.6 bilion dan pembangunan MCORP Hitech Park (MHTP) di Masjid Tanah Seluas 5,000 ekar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah YB Timbalan Menteri Kewangan 1 Ke Negeri Melaka Sempena Penyediaan Belanjawan 2024 di Auditorium Seri Negeri, di sini, hari ini.
Hadir pada program itu Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari serta Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin.
Turut hadir Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Fairul Nizam Roslan; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk kalsom Noordin; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin serta Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh.
Menurutnya sektor pelancongan menerusi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) turut menjadi fokus Kerajaan Melaka dalam usaha menambah sumber pendapatan negeri.
“Kerajaan Negeri Melaka mensasarkan pendapatanpelancongan pada tahun depan bakal mencecah RM23.48 bilion. Saya yakin, kedatangan pelancong ini juga dijangka bakal membantu para usahawan kecil menjana pendapatan buat seisi keluarga.
“Berikutan itu Kerajaan Negeri amat berharap agar Kerajaan Persekutuan dapat menyalurkan peruntukan berjumlah RM30 juta untuk membantu mempromosikan TMM2024 sebagai agenda utama promosi pelancongan di peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya.
Selain itu Ab Rauf juga berharap Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan semula permohonan-permohonan Kerajaan Negeri sebelum ini untuk menukar status pinjaman dibuat sebelum ini kepada geran.
Jelas beliau, ia memandangkan mkebanyakan pinjaman dibuat dengan tujuan memastikan keperluan asas, kebajikan dan sosial rakyat terjamin.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.