Sorting by

×

Nahas pesawat : Sembilan jenazah dikebumi hari ini

Masa Membaca:4 Minit, 2 Saat

KUALA LUMPUR, 20 Ogos — Kesemua baki sembilan jenazah mangsa nahas kapal terbang terhempas di Bandar Elmina, Khamis lepas dikebumikan hari ini. 

Semua jenazah telah dibawa keluar dari Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang secara berperingkat untuk dimandi dan disembahyangkan di Masjid Jamek Ar-Rahimiah yang terletak hanya kira-kira dua kilometer.

Selesai mandi dan solat jenazah di masjid itu, kesemua jenazah kemudian dibawa ke destinasi masing-masing untuk dikebumikan.

Sementara itu, suasana hiba menyelubungi Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Fasa 2 di sini sebaik sahaja jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai Allahyarham Datuk Seri Johari Harun tiba. 

Jenazah Johari, 53, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, selamat dikebumikan kira-kira pukul 12.04 tengah hari dengan bacaan talkin oleh anak Allahyarham sendiri iaitu Muhammad Hafiz Naqiuddin.

Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir adalah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Semalam jenazah Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Saleh, 32, seorang lagi mangsa dalam tragedi pesawat terhempas itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Huda, Kampung Jerung, Sungai Petani, pada 4 petang.

Sementara itu, jenazah pemandu e-hailing, Allahyarham Sharipuddin Shaari, 51, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Jamek Sultan Hisamuddin, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang kira-kira 12.50 tengah hari. 

Terdahulu, jenazah Allahyarham sekali lagi disembahyangkan di Masjid Jamek Sultan Hisamuddin dengan dipimpin Imam Saudi Jusoh yang kemudian turut membacakan talkin. 

Lebih 100 jemaah termasuk ahli keluarga menunaikan solat jenazah berkenaan. 

Seorang lagi mangsa Mohammad Taufiq Mohd Zaki, 37, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana di sini kira-kira 1 tengah hari ini.

Sebelum dikebumikan, jenazah Mohammad Taufiq yang merupakan Pegawai Khas kepada Allahyarham Johari sekali lagi disembahyangkan di Masjid Bukit Indah, Ampang.

Jenazah Khairil Azwan, 43, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Mempaga 1, Bentong, Pahang kira-kira pukul 1.50 tengah hari selepas sekali lagi disembahyangkan di kediaman ibu bapa Allahyarham yang diimamkan anak sulungnya, Khairul Harisin, 14. 

Suasana pilu menyelubungi pengebumian Khairil Azwan yang turut dihadiri ADUN Peramu Jaya Datuk Mohamad Nizar Mohd Najib, ahli keluarga serta kenalan.

Pada 16 Sept 2010, Khairil Azwan pernah terlibat dalam satu nahas helikopter ketika bertugas sebagai pembantu juruterbang Bahagian Udara, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. 

Seorang lagi mangsa Mohammad Naim Fawwas, 35, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang kira-kira pukul 2 petang. 

Sementara itu, cuaca mendung mengiringi pengebumian seorang daripada juruterbang pesawat, Heikal Aras Abdul Azim, 45, di Tanah Perkuburan Islam Presint 20, Putrajaya kira-kira 2.20 petang dengan bacaan talkin oleh imam Masjid Mahmoodiah Presint 18, Muhammad Rafuwan Putra Affendi.

Sebelum dikebumikan, jenazah dibawa ke kediaman keluarganya di Taman Desa Pinggiran Putra, Sepang.

Heikal Aras meninggalkan tiga anak, Daniel Zulqarnain, 13, Suri Balqish, 10 dan Rafael Dzulqairy, 9, hasil perkongsian dengan bekas isterinya, Christine Yong.

Jenazah seorang lagi juruterbang pesawat, Allahyarham Shahrul Kamal Roslan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Klang Gate, Hulu Klang di sini kira-kira 2.30 petang, selepas sekali lagi disembahyangkan di Masjid Kampung Klang Gate Baru.

Hujan lebat tidak menghalang 200 orang terdiri daripada ahli keluarga dan sahabat handai hadir ke pengebumian Shahrul Kamal yang merupakan menantu kepada Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Johor Corporation (JCorp) Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim.

Turut hadir ADUN Hulu Kelang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Shahrul Kamal meninggalkan seorang isteri dan empat anak lelaki berusia lingkungan tiga hingga 12 tahun.

Jenazah Idris Abdol Talib@Ramali, 41, yang merupakan pegawai khas kepada Allahyarham Johari pula selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Barak, Benus di Bentong, Pahang pada 3 petang.

Terdahulu, jenazah bapa kepada tiga anak itu dibawa ke Masjid Tengku Sulaiman, Ketari untuk disembahyangkan buat kali kedua yang diimamkan abangnya, Edzuan dengan disertai ribuan jemaah terdiri daripada ahli keluarga, sanak saudara dan kenalan.

Turut hadir di tanah perkuburan ialah Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pahang Fadzli Mohamad Kamal yang juga rakan baik Allahyarham, serta bekas Menteri Besar Pahang Tan Sri Adnan Yaakob.

Sementara itu, jenazah Komander (B) Shaharul Amir Omar, 49, yang merupakan pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selamat dikebumikan di Taman Persemadian Islam Seri Manjung, Perak kira-kira 3.40 petang.

Ketibaan jenazah di Masjid Jamie’ Al-Ikhwan, Desa Manjung Raya, Lumut kira-kira 2.30 petang diusung enam anggota TLDM sebelum solat jenazah sekali lagi yang dipimpin Imam Putra Arif Roslan.

Kira-kira 300 orang terdiri daripada ahli keluarga, rakan, anggota serta pegawai polis dan TLDM menghadiri pengebumian Shaharul Amir.

Perjalanan kesemua sembilan van jenazah dari Klang ke destinasi masing-masing lancar diiringi polis trafik dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

— BERNAMA

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2251
Kongsi :
Previous post Trek joging baharu di Semabok Perdana
Next post Pidato Rukun Negara TYT Yang di-Pertua Negeri tarik lebih 3,000 penyertaan
Ubah saiz-+=