Sorting by

×

Daun nanas bukan lagi buangan

Masa Membaca:2 Minit, 12 Saat

AYER KEROH – Kaya dengan khasiat, sesuai untuk pelbagai jenis hidangan atau dijadikan minuman antara sebab buah memiliki mahkota ini menjadi kegemaran ramai.

Namun pasti ramai tidak mengetahui sisa daripada buah nanas sebenarnya boleh diproses menjadi benang untuk menghasilkan fabrik, kertas dan bahan untuk perhiasan.

Kedengaran agak mustahil, namun sebenarnya ia tidak pelik kerana serat diambil daripada daun nanas adalah bahan yang kuat hingga sesuai untuk diproses menjadi pelbagai produk hiliran mampu menjana pulangan lumayan berbanding dibuang begitu sahaja.

Inovasi menggunakan daun nanas itu juga menjadikan bumi lebih sihat apabila aktiviti pembakaran terbuka diamalkan untuk membersihkan kebun selepas musim menuai kini dapat dikurangkan.

IMG-20230819-WA0041
ORANG ramai tertarik dengan teknik menghasilkan benang daripada daun nanas yang ditunjukkan Muna. Foto MR AZLI

Bagi Muna Abdul Kadir, 52, dia mula menghasilkan benang serat nanas pada 2009 selepas mengikuti kurus kraftangan.

“Sebenarnya arwah nenek yang mulakan, ketika berusia enam tahun saya sudah didedahkan mengenai cara mengambil serat daripada daun nanas, ketika itu teknik yang diajar adalah dengan menggunakan kaca.

“Apabila nenek meninggal dunia amalan itu terhenti begitu sahaja, tidak ada yang mahu sambung. Namun selepas berhenti kerja kilang saya terfikir kenapa tidak teruskan sahaja, untuk mengasahkan semula kemahiran saya sertai kursus kraftangan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

IMG-20230819-WA0042
MUNA menunjukkan helaian kertas dihasilkan daripada serat daun nanas. Foto MR AZLI

Dia berasal dari Pontian, Johor memberitahu proses mengambil serat daun buah tropika itu perlu dilakukan dengan teknik yang betul bagi menjaga kualitinya.

Muna sudah 14 tahun dalam bidang itu berkata, mengikut kebiasaan dia membeli sebanyak 100 kilogram (kg) daun nanas daripada pembekal sekitar Johor.

“Saya bawa balik dan proses, daripada jumlah itu saya boleh hasilkan sekitar satu kg benang serat nanas.

“Menariknya fabrik daripada benang serat nanas ini tahan lebih lama, tidak mudah rosak malah memiliki sentuhan eksklusif. Antara produk saya hasilkan menggunakan benang serat nanas ini adalah hiasan sulaman, jam, buku, penanda buku dan ‘key chain’.

“Setiap bulan saya mampu siapkan 10 unit jam menggunakan bahan ini. Pelanggan pula dalam kalangan orang persendirian atau ditempah agensi kerajaan sebagai cenderahati,” katanya.

Meskipun sudah memiliki galeri sendiri di Kampung Rimba Terjun, Pontian, Johor, dia berhasrat untuk mengembangkan perusahaan itu ke Melaka kerana peminat produk dihasilkan di negeri ini agak ramai.

“Walaupun produk daripada serat nanas ini tidak begitu mendapat pendedahan, namun ramai berminat dan ingin memilikinya.

“Dengan adanya kemudahan platform sosial media ianya amat membantu dalam mempromosikan lagi produk daripada serat daun nanas ini, kebiasaannya saya akan ambil bahagian pada festival atau program dianjurkan Jabatan Pertanian atau Lembaga Perindustrian Nanas,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2385
Kongsi :
Previous post Melaka iktiraf peranan pengamal media
Next post Agong beri sumbangan peribadi kepada balu mangsa nahas pesawat
Ubah saiz-+=