Persimpangan Elmina Lebuh GCE dibuka semula kepada pengguna

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Laluan keluar dan masuk ke Persimpangan Elmina dari kedua-dua arah Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) yang ditutup berikutan nahas pesawat semalam, telah dibuka semula kepada pengguna lebuh raya sejak 3.40 petang tadi.

Kumpulan Syarikat Prolintas (Prolintas) dalam satu kenyataan memaklumkan laluan berkenaan dibuka semula itu melibatkan laluan masuk dari Shah Alam ke Elmina barat, dan laluan masuk ke Elmina timur dari Rawang, termasuk susur keluar ke Shah Alam.

“Satu daripada dua lorong jalan dari Elmina barat ke Rawang masih ditutup untuk pihak berkuasa menjalankan siasatan di tempat kejadian. Namun begitu, pengguna masih boleh mengakses lebuh raya tersebut.

“Pasukan Operasi GCE telah ke lokasi kejadian untuk menilai kerosakan dan kini sedang menjalankan pembaikan segera jalan,” menurut kenyataan itu.

Prolintas memaklumkan pembersihan jalan telah dilakukan oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Sebuah pesawat ringan Beechcraft Model 390 (Premier 1) penerbangan dari Langkawi ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang terhempas kira-kira 2.50 petang semalam, mengorbankan 10  nyawa yang melibatkan enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang lalu di tempat kejadian.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3423
Kongsi :
Previous post Lelaki ditahan dipercayai terlibat 20 kes pecah stesen minyak
Next post MPAG dekati masyarakat
Ubah saiz-+=