TMM2024: Promosi Taman Laut Melaka dipergiat
SERI NEGERI 16 Ogos – Taman Laut Melaka membabitkan gugusan Pulau Undan, Pulau Nangka dan Pulau Dodol yang kaya dengan keindahan dan keunikan terumbu karang, diperkasa serta diangkat sebagai produk pelancongan sebagai tarikan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pia berikutan pulau di pantai barat itu yang diwartakan sebagai taman laut April lalu amat sesuai bagi aktiviti air seperti snorkel dan selam skuba.
AB Rauf berkata, turut menjadi perhatian Kerajaan Negeri adalah aktiviti ‘island hopping’ di ketiga-tiga pulau berkenaan.
“Bagi memastikan perancangan itu berjaya Jabatan Perikanan Negeri dan Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka akan mengenal pasti dan menaik taraf kemudahan serta fasiliti bagi memberikan keselesaan kepada pelancong.
“Sub-sektor sukan air juga antara aktiviti tumpuan pelancongan di Melaka pada sepanjang TMM2024 nanti,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Pelekat Kenderaan Promosi TMM2024 di Kompleks Seri Negeri, di sini, hari ini.
Menurutnya, pelbagai acara sedang dirancang termasuk aktiviti di Sungai Melaka menerusi Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM).
“Setakat ini tiada operator dilantik untuk menganjurkan aktiviti sukan air di Melaka cuma ia akan diseliakan oleh PPSPM sendiri.
“Kerajaan negeri juga akan menganjurkan Piala Regata ASEAN di Marina, perkara ini tersenarai dalam jadual TMM2024 yang akan diumumkan nanti,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.