Promosi TMM2024 diperhebat – KM

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

SERI NEGERI 16 Ogos – Berbaki beberapa bulan sahaja lagi, usaha mempromosikan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) terus dipergiatkan bagi menarik lebih ramai pelancong antarabangsa ke negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, setakat ini promosi sudah dijalankan di Itali, Filipina, Dubai dan Jerman.

“Kerajaan Negeri menerima maklum balas amat memberansangkan daripada penduduk tempatan setiap kali mengadakan promosi TMM2024 di negara luar.

“Jadual mengenai aktiviti TMM2024 akan dikeluarkan bagi memastikan segala perancangan dapat disesuaikan dengan masa dan keadaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Pelekat Kenderaan Promosi TMM2024 di Kompleks Seri Negeri, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Fairul Nizam Roslan; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP. Shanmugam; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem, dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Sa’ari Basiron.

Terdahulu, pada program itu, sebanyak 100 kenderaan Exco Kerajaan Negeri, jabatan dan agensi dipasang dengan pelekat bermagnet bagi mempromosikan TMM2024.

Menurut Ab Rauf, sebanyak 1,000 kenderaan disasarkan akan menerima pelekat kenderaan itu sebagai tanda menyemarakkan lagi promosi TMM2024.

“Ini merupakan satu lagi program untuk mempromosi TMM2024 di mana langkah ini juga turut dipasang pada kenderaan-kenderaan Exco Kerajaan Negeri dan Jabatan terlibat.

“Setakat ini Kerajaan Negeri sedang merangka pelbagai promosi lain di Melaka selain kita juga sedang aturkan beberapa rancangan kita sebaik sahaja menjelang tahun 2024 nanti.

“Malah beberapa program awal sebelum 2024 juga bakal diadakan seawal bulan September depan bagi menyemarakkan TMM2024,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

941
Kongsi :
Previous post Tarik pelabur sertai Taman Teknologi Jerman
Next post TMM2024: Promosi Taman Laut Melaka dipergiat
Ubah saiz-+=