MBMB perkenal dua anugerah hargai kakitangan
AYER KEROH 16 Ogos – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) memperkenalkan Anugerah Hang Tuah dan Anugerah Hang Jebat bagi menghargai kakitangannya yang cemerlang.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, MBMB menjadi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama di Melaka yang memperkenalkan anugerah seumpama itu.
Katanya, selain penghargaan penerima anugerah juga membawa pulang wang tunai berjumlah RM2,000.
“Saya mahu berikan dua anugerah baharu untuk kakitangan MBMB yang cemerlang, buat permulaan kita laksanakan di MBMB dahulu. Insya-Allah kita akan bawa anugerah ini ke PBT yang lain pula selepas ini.
“Kita akan adakan anugerah ini pada setiap tahun, ia akan diselitkan selepas penyampaian Anugerah perkhidmatan Cemerlang (APC),” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Bil 5/2023 dan Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat MBMB Tahun 2023 di Dewan Taming Sari MBMB, di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Zulkiflee Mohd Zin; Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman; Ketua Ahli Majlis MBMB, Clr. Abd Razak Abu dan Setiausaha MBMB, Ahmad Azlan Ahmad Salleh.
Katanya, setakat ini MBMB mempunyai seramai 1,200 kakitangan yang sentiasa menunjukkan semangat perpaduan dan patriotik setiap kali menjelang sambutan Hari Kebangsaan.
“MBMB sentiasa menjadi pencetus kepada program-program begini, saya yakin Datuk Bandar MBMB akan membawa satu pendekatan yang baik kepada masyarakat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.