Majikan ambil remeh, penginapan pekerja daif

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

PAYA RUMPUT 15 Ogos – Majikan sebuah kilang perabot seakan tidak serik apabila didapati masih gagal menyediakan penginapan selamat kepada pekerjanya walaupun pernah dihadapkan ke mahkamah serta dikenakan kompaun puluhan ribu.

Kesalahan itu sekali lagi dikesan dalam operasi bersepadu yang dijalankan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) hari ini di Taman Perindustrian Bukit Rambai, di sini, apabila mendapati pekerja di kilang terbabit tinggal di penginapan yang bukan sahaja daif malah melebihi kapasiti dibenarkan.

Pengarah JTK Melaka Johana Bakar berkata, premis yang sebelum ini adalah sebuah gudang diubah suai menjadi tempat penginapan sementara dan berdasarkan pelan dikeluarkan hanya 80 orang pekerja sahaja warga Bangladesh dibenarkan tinggal di situ.

Beliau berkata, namun begitu dalam pemeriksaan dijalankan mendapati jumlah keseluruhan yang menghuni disitu adalah 120 orang melebihi apa yang dibenarkan.

“Kawasan penginapan ini sememangnya mendapat kelulusan pelan dari pihak berkuasa tempatan (PBT) tetapi tidak mengikut ketetapan dibenarkan dengan hanya 80 pekerja sahaja dibenarkan.

“Malah keadaan didalamnya juga tidak bersih dan selamat apabila hanya menggunakan papan nipis sebagai alas sebagai laluan ke bilik di tingkat atas,” katanya selepas mengetuai operasi, hari ini.

photo_2023-08-15_17-30-25
Pengarah Jabatan Tenaga Kerja negeri, Johana Bakar melihat kediaman warga asing yang disediakan pihak syarikat dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu 2023 Jabatan Tenaga Kerja Negeri Melaka di Perindustrian Bukit Rambai, Melaka. Foto: MR. AZLI

Menurutnya, susulan itu empat kompaun dengan jumlah maksimum bernilai RM65,000 dikeluarkan pihaknya kepada majikan kilang terbabit.

“Kompaun itu dikeluarkan dibawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

“Antara kesalahan yang dilakukan adalah tiada perakuan penginapan, penyelenggaraan tidak bersih membabitkan persekitaran dan tidak melantik pihak bertanggungjawab,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2295
Kongsi :
Previous post KKM lulus 359 rayuan pertukaran penempatan pegawai perubatan setakat ini
Next post 11 mangsa tongkang karam di perairan Indonesia diselamatkan
Ubah saiz-+=