Mangsa perlu berani lapor kes gangguan seksual – KPWKM

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 14 Ogos – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) meminta agar mangsa gangguan seksual khususnya wanita tampil dan segera melaporkan jenayah itu kepada pihak yang bertanggungjawab.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, jumlah kes gangguan seksual yang dilaporkan masih rendah iaitu sebanyak 506 kes di seluruh negara yang direkodkan dari tahun 2021 sehingga 2022.

“Kita tidak tahu berapa banyak sebenarnya kes gangguan ini, kerana masih ramai yang takut untuk melaporkannya.

“Sebab itu kita adakan Program Jerayawa Kasih KPWM @ Advokasi Antigangguan Seksual ini untuk memberi keyakinan kepada masyarakat supaya mereka tahu ada undang-undang dan agensi boleh membantu.

“Kita bergerak (jelajah) ke setiap negeri supaya dapat kongsi dan sebarkan maklumat tentang antigangguan seksual ini kepada masyarakat,” katanya.

photo_2023-08-14_15-11-07
Sebahagian tetamu yang hadir pada Majlis Perasmian Program Jerayawa Kasih KPWM @ Advokasi Antigangguan Seksual di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh. Foto Iqmal Haqim Rosman

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Jerayawa Kasih KPWKM @ Advokasi Antigangguan Seksual di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri KPWKM, Aiman Athirah Sabu; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin dan lain-lain kenamaan.

Ujarnya, jelajah program itu memberi kesedaran kepada orang ramai agar terus melapor serta memberikan maklumat tentang gangguan seksual yang berlaku.

“Melaka adalah negeri ketujuh jelajah kali ini, kita pergi ke setiap negeri nak beri kesedaran kita sudah meluluskan undang-undang Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) untuk bendung masalah ini.

“Justeru, kita perlukan kerjasama ketua masyarakat dan agensi lain untuk membantu melaporkan, memberi nasihat serta panduan kepada mangsa gangguan seksual ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1178
Kongsi :
Previous post Melaka sedia khidmat hantar kontena guna jalan laut
Next post Sukan untuk anak muda Telok Mas
Ubah saiz-+=